KUALA LUMPUR, 23 April – Jelajah YAKIN Perak Sejahtera 2030 merupakan salah satu usaha untuk mendekatkan rakyat dengan maklumat sebenar mengenai perancangan kerajaan negeri.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan bahawa beliau telah menyempurnakan Majlis Peluncuran Jelajah YAKIN Perak Sejahtera 2030 pada Rabu.

“Syukur Alhamdulillah semalam saya telah menyempurnakan peluncuran Jelajah YAKIN Perak Sejahtera 2030.

“Ia merupakan sebuah program jelajah untuk mendekatkan rakyat dengan maklumat sebenar tentang usaha dan perancangan kerajaan negeri, menerusi agenda Pelan Perak Sejahtera 2030 melibatkan 59 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Perak.

“Dalam sesi bual bicara bersama saudara Luqman Hariz, saya kongsikan sedikit sebanyak tentang ke mana hala tuju negeri ini,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan berkata, peluang-peluang baharu untuk rakyat akan datang apabila Perak terus berkembang menjadi sebuah negeri yang maju.

“Kita mahu Perak terus bertumbuh menjadi sebuah negeri maju dengan membangunkan pusat-pusat industri baharu.

“Dari situ datangnya peluang pekerjaan dan peluang-peluang baru untuk rakyat yang boleh menjana ekonomi.

“Kita tak mahu lagi anak-anak Perak bermigrasi ke luar negeri. Kita mahu bakat-bakat muda kita terus berkembang dan menyumbang di negeri sendiri.

“Insya-Allah, moga langkah yang kita gerakkan hari ini akan jadi asas kepada masa depan Perak yang lebih baik,” katanya lagi.

Sumber: Umno Online