MANJUNG: Impian memiliki rumah sendiri kini bukan lagi angan-angan bagi golongan berpendapatan rendah di Perak apabila kerajaan negeri tampil proaktif menerusi inisiatif Rumah Perakku, yang menawarkan rumah pertama pada harga jauh lebih rendah daripada nilai pasaran semasa.
Melalui inisiatif itu, mereka yang layak dan sebelum ini bertahun-tahun menyewa, berpeluang memiliki rumah sendiri.
Pekerja kilang sawit, Asri Awang Ahmad, 45, berkata impian memiliki rumah pertama sendiri akhirnya tercapai selepas lebih 20 tahun beliau menyewa rumah bersama isterinya yang juga suri rumah, serta dua anak
mereka berusia dua dan 22 tahun.
Asri yang sebelum ini menyewa rumah dengan kadar RM400 sebulan, berkata, berasa lega kerana kini hanya perlu membayar kurang RM500 sebulan bagi bayaran pinjaman bank Rumah Perakku 1.
Rumah kos rendah yang dimiliki dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air, serta ruang parkir kenderaan.
“Inisiatif sebegini amat membantu saya memiliki rumah pertama, memandangkan hampir semua projek perumahan pada masa kini menawarkan kediaman pada harga ratusan ribu ringgit.
“Sedangkan bagi Rumah Perakku ini, saya membelinya pada harga RM85,000,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Perakku di Taman Perakku Batu 14, Lekir, Sitiawan, di sini, baru-baru ini.
Berpendapatan sekitar RM2,000 sebulan, Asri berkata sepanjang 20 tahun beliau sudah dua kali menyewa dan menyifatkan dirinya bertuah dapat memiliki rumah di bawah inisitaif Perakku .
“Saya pernah cuba membeli rumah tetapi ditolak. Syukur ini adalah rumah pertama yang saya dapat beli selepas didapati layak,” katanya.
Bagi Muhammad Iqbal Mat Sani, 26, berkata beliau layak sebagai penama kedua dalam pemilikan Rumah Perakku.
Menurut Muhammad Iqbal, ibunya yang menghidap angin ahmar sejak empat tahun lalu, penama utama rumah berkenaan.
“Syukur kerana sejak saya kecil lagi keluarga menyewa sahaja walaupun hakikatnya ayah berasal dari kawasan ini. Emak pula kini diserang angin ahmar sejak empat tahun lalu dan perlu bergerak menggunakan kerusi roda.
“Saya bekerja membantu ayah berniaga ikan. Kami sekeluarga ada tujuh orang termasuk lima adik-beradik, jadi Rumah Perakku ini nanti akan menjadi tempat tinggal kami sekeluarga apabila siap tahun depan,” katanya.
Projek Rumah Perakku di Taman Perakku, Batu 14 Lekir di bawah kendalian Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) meliputi keluasan 1.7 hektar yang merangkumi pembinaan 60 unit Rumah Perakku 1 iaitu unit rumah teres setingkat.
Subsidi infrastruktur RM3 juta disalurkan oleh LPHP bagi memastikan projek yang menawarkan rumah pada harga bermula serendah RM85,000 bagi lot tengah dan tidak melebihi RM140,000 seunit bagi lot hujung itu dapat disiapkan dengan kemudahan asas yang lengkap serta persekitaran selesa.
Projek Taman Perakku Batu 14 Lekir, projek ke 11 yang berjaya disiapkan di bawah program Rumah Perakku. LPHP menjangka menyiapkan 14 projek yang membabitkan 1,388 unit Rumah Perakku dan 882 unit Rumah Perwira sepanjang tahun 2025.
Perumahan Sejahtera adalah andalan atau fla gship di dalam pelan pembangunan negeri, Pelan Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
LPHP antara agensi yang menerajuinya melalui agenda Program Rumah Mesra Rakyat (RMR) Perakku Prihatin.
Sumber: Berita Harian

© 2025. All Rights Reserved.