SLIM RIVER: Walaupun memiliki Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan daripada Universiti Putra Malaysia (UPM), K Chirstol Paul, 52, memilih bidang penternakan sebagai kerjaya utama sejak 24 tahun lalu di sini.
Beliau membuat keputusan itu kerana lebih cenderung bekerja sendiri tanpa kongkongan majikan, berbanding kerjaya makan gaji di pejabat.
Katanya, pada peringkat awal, beliau hanya memiliki enam lembu tenusu yang diambil alih daripada abangnya, David sebagai titik permulaan.
Katanya, meskipun tidak mempunyai pengalaman dalam bidang berkenaan, bimbingan abangnya serta tunjuk ajar Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Muallim melalui kursus yang dianjurkan membantu menjadi antara penternak lembu tenusu berjaya di daerah ini.
“Bukannya mudah untuk berjaya dalam bidang penternakan lembu tenusu kerana ia memerlukan semangat dan ketahanan diri bagi memastikan usaha ini mampu menjamin kehidupan.
“Bidang ini bergantung kepada usaha sendiri, sebab itu saya sentiasa fokus terhadap apa yang diusahakan sehingga hari ini,” katanya.
Kini, hasil usaha berterusan, beliau mengusahakan ladang seluas lima hektar dengan 70 lembu tenusu baka Friesian Sahiwal dari Australia dan New Zealand.
Daripada jumlah itu, hanya 15 menghasilkan kira-kira 120 liter susu sehari, manakala selebihnya belum matang.
Bantuan JPV Muallim
Beliau berkata, JPV Muallim turut membantu dari segi khidmat nasihat serta pemasaran bagi memastikan kelangsungan perusahaan itu.
Selain itu, Pusat Penyelidikan Industri Tenusu (PPIT) Tapah turut membimbing beliau sebagai peserta Projek Rintis penternakan lembu tenusu.
“Melalui projek ini, saya menerima bantuan 10 lembu tenusu Friesian Sahiwal dari Australia serta sebuah mesin kisar rumput Napier kira-kira empat tahun lalu,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut menternak kira-kira 120 kambing bagi pengeluaran susu untuk pasaran tempatan.
Anak jati Slim River itu berkata, rutin hariannya bermula seawal jam 6 pagi apabila beliau perlu berada di kandang bagi memerah susu dengan bantuan tiga pekerja.
Katanya, semua ternakan diberi makanan berasaskan rumput Napier yang ditanam sendiri di kawasan ladang.
“Bidang penternakan tidak merugikan kerana selain menjual susu, kita juga boleh menjual ternakan, malah najis haiwan turut mendapat permintaan tinggi sebagai baja tanaman,” katanya.
Chirstol turut menyatakan kesediaannya berkongsi ilmu dengan generasi muda yang berminat menceburi bidang penternakan walaupun perlu berdepan cabaran persekitaran.
Menariknya, hasil penternakan yang diusahakan sejak lebih dua dekad itu turut dikongsi dengan golongan yang memerlukan tanpa mengira agama dan bangsa, khususnya ketika berdepan musibah.
Pada masa sama, inisiatif Perak Sejahtera 2030 terus memperkasakan sektor penternakan melalui bantuan, pembangunan hab agromakanan dan projek ternakan moden bagi menjamin sekuriti makanan serta merancakkan ekonomi rakyat.
Ia juga menepati, Perak Sejahtera 2030 iaitu Lembah Bakul Makanan Malaysia (Sekuriti Makanan) hasil cetusan berwawasan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad bagi membawa negeri ke arah kemajuan.
Sumber: Berita Harian

© 2026. Hak cipta terpelihara.