IPOH – “Bertukar bidang pekerjaan bukanlah mudah, namun dengan adanya bimbingan yang tepat dari pihak seperti Sekreta­riat Usahawan Negeri Perak (STeP), saya mampu mencari rezeki sebagai pemilik perusahaan bakeri.”

Perkongsian pandangan itu disuarakan oleh A. Gnana Grace, 50, yang turut memberitahu, sebelum bergelar pemilik Grace Bakery House, dia terlebih dahulu merupakan seorang yang bergiat aktif dalam bidang percetakan.

Bagaimanapun, katanya, perniagaan percetakannya iaitu Shammah Shemariah Wedding Planner and Printing itu terpaksa dihentikan sewaktu negara dilanda pandemik Covid-19 pada tahun 2020, sekali gus menjejaskan periuk nasi keluarganya pada waktu berkenaan.

“Ketika itu, saya menjual kek mentega dari rumah, namun lama-kelamaan timbul perasaan untuk meluaskan capaian pelanggan kerana kek dihasilkan itu mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

“Untuk tujuan itu, saya mendapat bimbingan dari STeP bermula 2022 merangkumi aspek penting bagi sesebuah perniagaan termasuk pemasaran, bahkan banyak kursus berkaitan telah saya sertai,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Gnana Grace berkata, pada 2023, dia mendapat peralatan bagi membantu operasi dari STeP dan bermula saat itu, perniagaannya mula berkembang sehinggalah Grace Bakery House berjaya dibuka pada 27 Disember tahun sama di Medan Perusahaan (Medan Kidd) di Jalan Tun Abdul Razak, di sini.

“Selain itu, saya juga lebih yakin, teratur dalam pengurusan kewangan dan mula nampak pe­ningkatan dalam jualan. Program-program yang dianjurkan oleh STeP amat berkesan dan memberi saya rangkaian bisnes dan motivasi,” katanya.

Dia berkata, perniagaan itu di­usahakannya sendiri, namun turut dibantu oleh pekerja sambilan dan dua orang anaknya iaitu Shammah Grace, 21, yang merupakan mahasiswi di Universiti Malaya dan Shemariah Grace, 18 (Universiti Antarabangsa Quest).

Mendepani cabaran masa kini, Gnana Grace berkata, dia merancang untuk mengembangkan perniagaannya dalam masa terdekat.

Katanya, dia berhasrat membuka bakeri dan kafe di Buntong, di sini, menjelang hujung tahun ini dan percaya konsep perniagaan itu mampu diusahakannya walaupun ia merupakan pengemba­ngan perniagaan yang ketara daripada konsep sedia ada.

“Jumlah jualan sebelum saya menerima bantuan adalah sekitar RM2,000 hingga RM3,000 sebulan, namun kini mampu meraih lebih RM15,000 sebulan,” katanya.

Menurutnya, dia pernah mene­rima Anugerah Usahawan Dedikasi Wanita di bawah Program Mahir Usa­hawan Business Fundamental Mastery 2023 tahun lalu, serta Anugerah Starpreneur dari program empowerNCER pada April lalu.

“Saya kini sedang berusaha untuk mendapat pensijilan halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta berhasrat untuk mengeksport produk dihasilkan ke luar negeri.

“Ketika ini, produk kek saya te­lah pun mendapat perhatian dari warga luar negara yang mengunjungi sendiri Grace Bakery House dan membawa pulang kek mentega kami ke negara masing-masing seperti England dan Singapura,” katanya.

Bimbingan yang diterima Gnana Grace daripada STeP adalah selari dengan flagship pelan Perak Sejahtera 2030 cetusan berwawasan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad iaitu Program Pembolehdayaan Modal Insan & Pembelajaran Sepanjang Hayat.

Sumber: Kosmo

ms_MYEnglish