IPOH – Bantuan Geran Usahawan Perak (Gerak) yang disediakan kerajaan negeri menjadi pemangkin utama kepada perkembangan perniagaan syarikat tempatan, Secubite Delights (Secubite) sehingga mampu menembusi pasaran di seluruh negara.
Memulakan perniagaan pada 2017 hanya dari rumah dengan menjual donat secara kecil-kecilan Secubite Delights yang diasaskan, Atiqah Abdul Razak, 40, berjaya mengorak langkah lebih jauh selepas menerima bantuan geran pada 2023.
Beliau menerima Gerak berjumlah RM2,000 yang dilaksanakan melalui Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) dan menggunakan dana itu untuk membeli kelengkapan seperti chiller dan penyejuk beku bagi meluaskan pengeluaran produk.
“Geran ini memang menjadi membantu perniagaan saya berkembang. Dari berniaga di tepi jalan, saya akhirnya dapat membuka cawangan di Bangunan Seri Kinta dan kini berpindah ke rumah kedai PKNPk di Kampung Tengku Hussein, Manjoi.
“Di situ, segala pengeluaran dan permintaan pelanggan dipenuhi termasuk penghasilan produk konsep roti Eropah seperti croissant, kromboloni, sourdough bread serta piza Neapolitan. Semua ini berasaskan cita rasa sihat dengan gula rendah,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Kafe Secubite baru-baru ini.
Perasmian Kafe Secubite disempurnakan oleh Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed.
Menurut Atiqah, selain menjual di kafe, produk Secubite kini dipasarkan di negeri Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Pahang selain memanfaatkan platform digital seperti TikTok Shop.
“Alhamdulillah, dengan adanya sokongan kerajaan negeri melalui bantuan geran, saya dapat menyediakan produk secara borong dan konsep pengeluar peralatan asli (OEM) yang memberi peluang lebih luas kepada pengembangan perniagaan.
“Malah, saya juga berhasrat untuk memperoleh pensijilan halal serta sijil Mesti bagi meningkatkan keyakinan pelanggan dan membuka peluang Secubite menembusi pasaran lebih besar,” katanya.
Sementara itu, suaminya yang bertindak sebagai penyelia, Zulhisham Abdul Jamil, 51, turut membantu menguruskan operasi bersama dua pekerja tetap di bawah jenama tersebut.
Kejayaan itu selaras dengan hasrat kerajaan negeri menerusi pelan Perak Sejahtera 2030 yang memberi penekanan kepada pembangunan ekonomi inklusif dan pengukuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sebagai tonggak utama menjayakan agenda negeri.
Sumber: Sinar Harian

© 2025. All Rights Reserved.