KUALA KANGSAR: Dana Kreatif Perak@ PORT dimanfaatkan pengarah muda, Hilmi Azmin untuk membantu penghasilan filem pendek sejarah berjudul Dato’ Sagor: Maruah di Bumi Perak yang mengangkat tema penentangan pahlawan Melayu terhadap kuasa kolonial pada penghujung abad ke-19.

Hilmi atau nama sebenar, Mohammad Hilmi Azmin, 30, berkata, filem pendek berdurasi 45 minit berkenaan yang sudah ditayangkan di Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) Perak pada 25 Ogos lalu sempena sambutan Hari Kebangsaan, menyoroti semangat perjuangan tokoh pahlawan Melayu Perak, Dato’ Sagor dalam mempertahankan tanah air daripada penjajahan British.

Menurut Hilmi yang berpengalaman menghasilkan puluhan filem pendek sebelum ini melalui produksi HAZ Production, tempoh masa dua tahun diambil bagi mengkaji fakta sejarah yang berkaitan supaya ia selari serta tidak bercanggah daripada sumber asal, termasuk menemu bual waris pahlawan Melayu itu.

“Kajian berkaitan Dato’ Sagor saya sudah lakukan sejak dua tahun lalu, termasuk untuk pembangunan skrip namun pada mulanya tidaklah sampai bercadang hendak buat lagi cerita (filem pendek) berkenaannya dengan begitu segera.

“Kebetulan tahun lalu DKP dibuka untuk permohonan. Jadi saya fikir lebih baik gunakan dana yang saya terima RM6,000 itu untuk buat filem pendek berkaitan Dato’ Sagor ini walaupun perlu juga mengeluarkan duit sendiri bagi perbelanjaan selebihnya,” katanya kepada BH.

Kata Hilmi, pembikinan filem pendek itu yang turut dibintangi Reza Hasbi, menelan kos hampir RM30,000, tidak termasuk tajaan lain yang diterima daripada pihak lain seperti dalam bentuk makanan, tempat dan lain-lain.

“Pembikinan filem pendek ini mendapat sokongan penuh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, terutama apabila ia berkisar untuk mengangkat pahlawan dari negeri Perak, selain beliau sendiri menyerahkan cek DKP itu kepada saya.

“Berbanding Dato’ Maharajalela yang sedia lebih dikenali sewaktu penentangan orang Melayu terhadap British di Pasir Salak, nama Dato’ Sagor tidak begitu disebut biarpun hakikatnya peranan beliau juga sangat penting di waktu itu, selain namanya banyak diabadikan beberapa lokasi di Perak,” katanya.

Graduan sarjana muda lepasan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) Kuala Kangsar dalam bidang perakaunan itu berkata, penghasilan filem pendek itu adalah manifestasi cintanya terhadap warisan bangsa dan usaha memperkenalkan kisah pahlawan tempatan terutamanya kepada generasi muda.

“Saya mahu generasi muda bukan hanya mengenali pahlawan kita sendiri melalui buku teks sekolah, tetapi juga melalui medium yang lebih dekat, iaitu hiburan atau filem, dengan menyatukan elemen visual moden bersama kisah sejarah yang mendalam,” katanya.

Dana Kreatif Perak @ PORT adalah inisiatif skim bantuan seni bersistematik yang memberi keutamaan kepada pengkarya dan golongan usahawan bidang kreatif kelahiran atau mereka yang bermastautin di Perak.

PORT adalah penjenamaan semula kepada Kampung Karyawan Amanjaya selaku agensi kreatif di bawah kerajaan negeri Perak.

PORT yang juga akronim kepada People of Remarkable Talent juga adalah antara agensi peneraju bagi . Ekonomi Pengalaman di dalam pelan pembangunan negeri Perak Sejahtera 2030 cetusan ilham Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad di bawah segmen Semarak Warisan.

Sumber: Berita Harian

ms_MYEnglish