IPOH-Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perak (JKSPk) memperkenalkan Modul Awam Sistem Elektronik Kehakiman Syariah Perak (eKSPerk) bagi memudahkan orang ramai mengakses borang-borang penting berkaitan kes syariah secara dalam talian sekali gus mengurangkan kos dan masa berurusan di mahkamah.

Ketua Hakim Syarie Perak, Datuk Ab Rahman Thobroni Mohd Mansor berkata, inisiatif digital itu merupakan antara usaha jabatan untuk menyokong agenda pendigitalan di bawah kerangka Pelan Perak Sejahtera 2030 yang menekankan kepada kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan awam serta pemerkasaan institusi kehakiman.

Menurutnya, eKSPerk dibangunkan hasil daripada aduan orang ramai mengenai kesukaran untuk menyediakan dokumen tuntutan atau permohonan sesuatu kes kerana ia melibatkan beban kos penyediaan dokumen apabila perlu mendapatkan khidmat peguam atau penulis petisyen.

“Portal ini menyediakan contoh borang untuk kes-kes mudah dan lazim yang boleh diakses orang awam. Mereka hanya perlu mengisi maklumat berkaitan butiran peribadi serta fakta kes dan mencetaknya untuk dibawa ke mahkamah.  

“Ia bukan sahaja menjimatkan kos malah mempercepatkan urusan,” katanya dalam temu bual khas bersama Sinar Harian baru-baru ini.

Antara objektif utama pelaksanaan modul itu ialah mengurangkan kos penyediaan borang, mempercepatkan proses permohonan, meningkatkan kemesraan perkhidmatan pelanggan serta menjimatkan tenaga kerja secara optimum.

Pada peringkat awal, empat jenis kes ditawarkan melalui modul eKSPerk iaitu permohonan perceraian secara persetujuan bersama, tuntutan pengesahan lafaz cerai di luar mahkamah, permohonan nikah bawah umur serta permohonan wali hakim.

Ab Rahman Thobroni berkata, kes-kes tersebut dipilih kerana fakta kes yang diperlukan adalah mudah dan lazimnya melibatkan permohonan individu tanpa pertikaian besar.

“Contohnya, bagi penceraian persetujuan bersama, pasangan telah setuju untuk bercerai dan hanya perlu mengisi borang, cetak dan hadir ke mahkamah. 

“Begitu juga dengan lafaz cerai di luar mahkamah pengguna hanya perlu nyatakan tarikh, masa, tempat dan bentuk lafaz untuk pengesahan,” jelasnya.

Tambah beliau, permohonan wali hakim sering melibatkan kes mualaf, anak tidak sah taraf atau ketiadaan wali nasab yang sah, manakala permohonan nikah bawah umur melibatkan remaja yang belum mencapai umur sah taraf pernikahan menurut undang-undang syariah.

Dalam aspek keselamatan maklumat, Ab Rahman Thobrani  memberi jaminan bahawa sistem eKSPerk dibangunkan dengan ciri-ciri keselamatan tinggi termasuk penggunaan kata laluan individu, firewall serta proses auditan dalaman.

Setakat ini, sebanyak lebih 40 kes telah didaftarkan menggunakan sistem berkenaan sejak ia dilancarkan pada Jun lalu.

Namun, beliau mengakui jumlah itu masih rendah berbanding jangkaan dan memerlukan usaha hebahan yang lebih luas.

Menurutnya, JKSPk turut merancang untuk mewujudkan kios khas di semua daerah bagi memudahkan pengguna mengisi borang secara terus di premis mahkamah dengan bantuan kakitangan bertugas.

Selain itu, usaha integrasi sistem eKSPerk dengan sistem e-Syariah peringkat Persekutuan juga sedang diusahakan agar proses pendaftaran kes dapat dilakukan secara dalam talian sepenuhnya, tanpa perlu mencetak borang.

“Apabila dokumen boleh dihantar terus dalam bentuk PDF dan bayaran dibuat secara dalam talian, proses akan menjadi lebih cekap dan menjimatkan masa,” katanya lagi.

JKSPk juga berhasrat menjalin kerjasama dengan agensi berkaitan seperti Persatuan Peguam Syarie dan Jabatan Agama Islam Perak khususnya Bahagian Kaunseling.

Ab Rahman Thobroni berkata, sistem eKSPerk merupakan projek rintis dan akan diperluaskan dari semasa ke semasa.

Antara modul tambahan yang bakal diperkenalkan termasuk permohonan hak jagaan anak, harta sepencarian dan pembahagian faraid.

“Misalnya faraid jika waris tahu aset yang ditinggalkan, mereka boleh isi sendiri maklumat dan kemukakan permohonan. Ia akan memudahkan banyak pihak,” katanya.

Jelasnya, inisiatif itu bukan sekadar transformasi digital semata-mata, tetapi satu langkah penting ke arah pemerkasaan rakyat dalam memahami dan mengurus urusan syariah secara berhemah dan efisien, sejajar dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030.

Sumber: Sinar Harian

ms_MYEnglish