KUALA KANGSAR: Pandemik COVID-19 yang melanda negara beberapa tahun lalu menjadi titik tolak perubahan hidup seorang pemandu jentera berat hingga bergelar usahawan tani tembikai berjaya.

Mat Jaman Mat Noor, 42, kini mengusahakan tiga ladang seluas 45.3 hektar di Lenggong dan Sungai Siput dengan dua daripadanya khusus untuk penanaman tembikai merah, kuning dan madu.

Beliau yang juga Ikon Pertanian Tembikai Negeri Perak 2024, Jabatan Pertanian dan Ikon Petani Daerah Kuala Kangsar 2023, berkata dengan bantuan serta bimbingan Jabatan Pertanian dan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) membolehkannya melangkah lebih jauh.

“Semuanya bermula sekitar 2004. Saya cuma tanam tembikai di tanah sendiri seluas seekar (0.4 hektar). Ketika itu kerja tetap saya masih pemandu jentera berat. Pertanian ini sekadar hobi, tak sangka pula boleh pergi sejauh ini.

“Apabila minat dalam pertanian semakin bercambah, saya perluaskan kawasan penanaman sikit demi sedikit antaranya melalui pajakan tanah pihak lain,” katanya kepada BH.

Mat Jaman berkata, kemuncaknya apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di negara ini.

Katanya, sebagai pemandu kenderaan berat, beliau tidak boleh beroperasi. Ini menyebabkan beliau bergiat secara serius dalam aktiviti pertanian sehingga sekarang.

Pinjaman tanpa faedah 

Beliau berkata, bantuan dan bimbingan dari Jabatan Pertanian dan Perak SADC diterima sesudah bergiat aktif dalam pertanian iaitu sekitar 2021, termasuk pinjaman tanpa faedah daripada Perak SADC berjumlah RM80,000 bagi mengembangkan perusahaan tanamannya.

“Kedua-dua agensi ini banyak membantu saya. Jabatan Pertanian sering memberikan khidmat nasihat, pemantauan dan bantuan input pertanian. Begitu juga Perak SADC menyediakan pinjaman tanpa faedah dan juga pemantauan serta membuat lawatan kerap,” katanya.

Menurut Mat Jaman, pengeluaran hasil tanaman tembikai banyak dipengarahui faktor cuaca. Namun, penanaman yang diusahakannya mampu mengeluarkan hasil antara 150 hingga mencecah 300 tan bagi satu musim pengeluaran yang kebiasaannya dalam setahun terdapat tiga musim.

Katanya, bagaimanapun ketika ini beliau mula mempelbagaikan jenis tanaman di ladang antaranya beberapa jenis pisang, berikutan harga pasaran tembikai yang tidak menentu.

“Harga tembikai tak menentu, seperti kebelakangan ini harga ladang bagi tembikai dijual RM0.70 sekilogram. Mujur agensi kerajaan yang lain khususnya Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) turut membantu apabila harga pasaran tidak stabil dan rendah.

“FAMA membeli hasil pertanian pada harga lantai, secara tidak langsung dapat memastikan petani dapat ‘bernafas’ kembali.

“Kini saya mula menggiatkan tanaman lain seperti pisang berangan, pisang emas dan pisang tanduk. Selain dijual mentah ia juga dapat dijual melalui penghasilan produk hiliran seperti kerepek khususnya di Gerik serta Lenggong iaitu dalam daerah Hulu Perak,” katanya.

Jabatan Pertanian dan Perak SADC kedua-duanya diletakkan sebagai antara agensi yang menerajui andalan atau . Lembah Bakul Makanan Malaysia (Sekuriti Makanan) melalui pelan pembangunan negeri, Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Sumber: Berita Harian

ms_MYEnglish