KAMPAR – Penggunaan teknologi dron khususnya jenis Vertical Take-Off and Landing (VTOL) mampu meningkatkan kecekapan operasi pengurusan bencana serta kerja-kerja pemetaan berketepatan tinggi di Perak.

Sehubungan itu pemberian lima unit peralatan baharu dron oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad kepada Persatuan Drone Perak (PDP) mampu memberi nilai tambah terhadap operasi yang dilaksanakan.

Pengerusi Persatuan Drone Perak, Hadiman Ariffin berkata, bantuan aset teknologi itu membuka lembaran baharu kepada persatuan yang sebelum ini bergantung sepenuhnya kepada dron individu milik ahli untuk melaksanakan aktiviti dan operasi lapangan.

Menurutnya, lima aset diterima itu merangkumi satu unit Aeromap VTOL, satu unit DJI Matrice 4T, satu unit DJI Avata 2, dua unit FIMI X8 Tele serta sebuah simulator latihan.

“Sebelum ini kami bergerak menggunakan dron milik ahli yang kebanyakannya kategori pengguna biasa dan sudah tentu ada kekangan dari segi tempoh bateri, ketepatan data dan keupayaan operasi.

“Dengan sumbangan ini, kita kini mempunyai aset sendiri yang jauh lebih canggih dan mampu menghasilkan data lebih tepat, selain membolehkan operasi dijalankan lebih lama serta lebih efisien,” katanya kepada Sinar Harian sempena Program Mastering Aeromap VTOL Operator Training di Gua Tempurung di sini baru-baru ini.

Hadiman berkata, manfaat utama aset tersebut bukan hanya tertumpu kepada ahli persatuan sebaliknya turut memberi nilai tambah kepada negeri khususnya dalam aspek kesiapsiagaan menghadapi bencana.

Katanya, persatuan yang selama ini aktif membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) kini mampu memperkukuh peranannya dengan penggunaan dron lebih berteknologi tinggi.

“Ini secara langsung membantu agensi penyelamat dan mempercepatkan tindakan di lapangan,” katanya.

Selain itu katanya, dron berkenaan juga boleh digunakan untuk kerja-kerja pemetaan kawasan pertanian, pemantauan pembangunan dan pengurusan tanah yang memberi manfaat besar kepada kerajaan negeri.

“Contohnya dron VTOL ini boleh meliputi sehingga 200 hingga 300 hektar dalam satu penerbangan, sesuai untuk pemetaan ladang, pemantauan projek pembinaan dan mengenal pasti perubahan guna tanah.

“Data seperti ini penting untuk membantu pihak kerajaan membuat keputusan lebih tepat dalam perancangan pembangunan,” katanya.

Katanya, program latihan yang dianjurkan dengan kerjasama Majuperak Holdings Berhad dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perak memberi peluang kepada peserta mempelajari teknologi dron terkini termasuk operasi VTOL yang masih baharu di negara ini.

Sementara itu, Pegawai Unit Operasi APM Perak, Leftenan (PA) Ahmad Muafiri Mohamad Khata berkata, dengan VTOL, ia sangat membantu untuk kawasan luas kerana boleh menghasilkan data geospatial yang lebih tepat dan memudahkan pasukan menentukan lokasi terbaik untuk akses menyelamat,” katanya.

Bagi pensyarah Diploma Geomatik Politeknik Ungku Omar, Norina Omar berkata, latihan tersebut membuka dimensi baharu dalam pendidikan teknologi dron, khususnya dalam bidang pemetaan digital.

Penggunaan teknologi terkini seperti dron membantu kerajaan negeri Perak dalam membuat keputusan berpacukan data selaras aspirasi pelan Perak Sejahtera 2030.

Sumber: Sinar Harian