BERUAS: ‘Seri’ pekan Beruas yang pernah pada suatu ketika gah sebagai pusat kerajaan purba Gangga Negara, kembali digilap melalui pembinaan infrastruktur Dataran Gangga Negara di nadi pekan kecil itu sebagai ruang riadah dan pertemuan komuniti.

Dataran itu dibangunkan sebagai simbol mengangkat warisan Gangga Negara yang menjadi antara tapak awal peradaban di negeri Perak, justeru sarat dengan nilai sejarah, identiti dan kebanggaan masyarakat setempat.

Dataran dengan kos keseluruhan RM2.2 juta itu merangkumi pembangunan Laman Memori Beruas menampilkan elemen mural dan susun atur landskap bagi mengangkat identiti serta memori tempatan.

Selain turut memberikan sokongan kepada aktiviti ekonomi tempatan khususnya, buat peniaga kecil.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Baharu, Azman Noh, berkata pembinaan dataran berkenaan yang bermula sejak penghujung 2023 berjaya mengubah wajah kawasan itu yang sebelum ini adalah bangunan terbiar hampir 40 tahun serta menjadi lokasi pembuangan sampah.

Menurut beliau, dataran yang dibangunkan menerusi kerjasama Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Vale Malaysia Minerals Sdn Bhd (Vale) itu memberi impak positif, khususnya kepada peniaga kecil di sekitar pekan Beruas.

“Peniaga di sekitar pekan rata-ratanya mengatakan, jualan mereka meningkat. Sebelum ini mereka memulakan perniagaan sekitar tengah hari, namun sekarang seawal 10 pagi sudah mula berniaga, sekali gus hasil pendapatan turut meningkat.

“Lukisan mural yang menghiasi dinding deretan kira-kira 20 kedai dekat dataran itu, temanya berkisar mengenai sejarah Beruas, daripada ketika kerajaan Gangga Negara yang bermula sekitar abad ke-2 Masihi sehingga tertubuh kerajaan Melayu Beruas,” katanya.

Peniaga air balang di Dataran Beruas, Muhammad Sofian Ramlee, 34, berkata kewujudan Dataran Gangga Negara berhampiran tempat dia berniaga telah melonjakkan hasil jualan kerana pekan Beruas kini lebih ‘hidup’ termasuk pada waktu malam.

Tingkat keselesaan

Menurutnya, pembangunan Dataran Beruas yang menjadi lokasi beliau berniaga siap pada 2023 dan memberikan keselesaan lebih baik kepada peniaga berbanding sebelum ini yang hanya beroperasi di bawah khemah.

Katanya, kewujudan Dataran Gangga Negara turut dilihat mampu merancakkan lagi kegiatan ekonomi penduduk setempat.

“Apabila ada dataran ini sebagai tempat saya berniaga, lebih ramai pelanggan singgah. Ramai pengunjung tertarik datang ke sini, termasuk dari luar kawasan.

“Selain itu, dataran baharu itu menyediakan ruang awam yang selesa untuk masyarakat setempat berkumpul, berinteraksi, beriadah serta menganjurkan pelbagai aktiviti komuniti dalam suasana yang lebih teratur dan kondusif,” katanya.

Sementara itu, Majlis Perbandaran Manjung (MPM) memaklumkan pembangunan serta penaiktarafan dataran berkenaan selaras dengan perancangan jangka panjang pihak berkuasa tempatan itu bagi memperkukuh peranan pekan kecil Beruas sebagai pusat warisan, komuniti dan pelancongan setempat.

Menurut MPM, pihak berkuasa tempatan turut diletakkan sebagai antara agensi peneraju agenda Pelancongan Peradaban dan Kesejahteraan Nusantara di bawah ‘flagship’ Ekonomi Pengalaman dalam pelan pembangunan negeri, Perak Sejahtera 2030 yang dicetuskan oleh Saarani Mohamad.

Sumber: Berita Harian