USAHA Kerajaan Perak memperkukuh agenda Perumahan Sejahtera, selaras flagship kedua Pelan Perak Sejahtera 2030, kini melangkah setapak lebih maju dengan pembangunan Dashboard Hartanah@Perak iaitu sebuah platform pelaporan digital berasaskan geospatial yang membolehkan data perumahan dipaparkan secara telus, terperinci dan mudah diakses.

Dashboard yang dibangunkan melalui kerjasama Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) serta PerakGIS itu bukan sahaja menyokong penyediaan rumah mampu milik dan perancangan perumahan secara strategik malah mengangkat keutamaan pelan Perak Sejahtera 2030 yang menekankan Pembuatan Keputusan Berpacukan Data.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LPHP, Zaiteena Wan Nasir berkata, penciptaan dashboard itu dicetuskan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LPHP, Mohamed Akmal Dahalan yang melihat keperluan untuk mempunyai satu pangkalan data bersepadu boleh diakses orang awam, pemaju dan agensi kerajaan.

Menurutnya, masih ramai yang menyangka LPHP adalah pihak yang mengawal keseluruhan pembangunan perumahan di negeri ini, sedangkan ia agensi dasar dan penyelaras sektor perumahan di negeri ini.

“Kami bukan pembangun projek sepenuhnya. Ada tanah milik LPHP yang dibangunkan secara kerjasama, tetapi sebahagian besar projek perumahan adalah milik pemaju swasta. Jadi kami tidak boleh mengawal jenis rumah yang mereka mahu bina.

“Cuma dasar yang ditetapkan jika pembangunan melebihi 20 ekar pemaju wajib menyediakan rumah kos rendah dan Rumah Perakku II. Kebergantungan kepada tanah dan kemampuan pemaju sangat mempengaruhi jenis perumahan yang diwujudkan,” katanya.

Justeru, beliau berkata, dashboard ini membantu orang ramai memahami ekosistem sebenar industri perumahan berkaitan siapa membina apa, di mana dan bagaimana sesuatu projek dirancang.

Platform tersebut dibina bagi memastikan semua pemegang taruh dapat mengikuti perkembangan projek perumahan secara masa nyata berdasarkan data kelulusan rasmi daripada semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Menurutnya, LPHP melaksanakan proses semakan dan pengesahan data secara berkala bersama agensi teknikal bagi memastikan maklumat yang dipaparkan tepat dan sahih.

“LPHP turut memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Jabatan Perumahan Negara pada 10 Julai 2024 bagi membolehkan kami memperoleh data rasmi berkaitan status projek sakit dan terbengkalai.

“Data ini disemak dan dikemas kini dari semasa ke semasa sebelum dipaparkan dalam dashboard,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, dalam memenuhi sasaran pembangunan 57,407 unit rumah di bawah pelan Perak Sejahtera 2030 merangkumi Rumah Perakku I, II, III dan Rumah Harga Terbuka, LPHP menilai pencapaian melalui indikator utama yang dipaparkan dalam dashboard.

“Melalui Dashboard Hartanah@Perak ini, pengguna boleh melihat bilangan unit yang siap, sedang dibina dan dalam perancangan. Semua data ini adalah berdasarkan rekod kelulusan PBT yang dikemas kini mengikut status semasa,” jelasnya.

Bantu kesan projek bermasalah lebih awal

Dashboard Hartanah@Perak juga memaparkan data mengikut daerah, mukim, kawasan PBT, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) membolehkan analisis lebih tepat dibuat bagi mengenal pasti kawasan yang memerlukan intervensi perancangan.

Zaiteena berkata, dashboard itu turut membantu LPHP mengesan projek bermasalah lebih awal berdasarkan rekod kelulusan rasmi seperti Kebenaran Merancang, Pelan Pinta Ukur, Pelan Bangunan, Kelulusan Mula Kerja Tapak dan Sijil Penyiapan dan Pematuhan.

“Apabila tarikh kelulusan pada mana-mana fasa melepasi tempoh munasabah, LPHP boleh mengenal pasti kelewatan luar biasa dan mengambil tindakan awal.

“Misalnya, jika projek sudah mendapat kelulusan mula kerja tapak tetapi gagal memperoleh CCC dalam tempoh lama, itu petunjuk awal projek berisiko,” jelasnya.

Beliau berkata, data dari 15 PBT dikumpulkan pada kitaran suku tahunan sejak April 2024 menjadikan semua maklumat lebih stabil, terkini dan boleh dipercayai.

Sementara itu, Zaiteena memaklumkan bahawa LPHP turut melaksanakan sesi penyelarasan bersama jabatan teknikal PBT untuk memastikan kaedah, format dan tempoh pengumpulan data diseragamkan.

“Setakat ini, rekod kelulusan sejak 2019 telah berjaya dikumpulkan dan dipaparkan dalam dashboard.

“Untuk jangka panjang, LPHP merancang menandatangani MoU bersama Bahagian Kerajaan Tempatan bagi memperkukuhkan integrasi data secara lebih formal,” katanya.

Dashboard Hartanah@Perak kini dibuka sepenuhnya kepada orang awam melalui laman PerakGIS dengan memaparkan lokasi projek, status pembinaan, jumlah unit dan kategori perumahan.

Pengguna turut boleh menyemak gambaran awal projek sakit dan terbengkalai yang merupakan satu bentuk ketelusan baharu dalam sektor perumahan negeri.

Zaiteena berkata, usaha menambah baik dashboard akan diteruskan melalui pembangunan fasa seterusnya.

“LPHP sedang berunding dengan pasukan teknikal PerakGIS bagi memperluas fungsi dashboard termasuk menambah maklumat lebih terperinci serta memperkemas antara muka agar lebih mesra pengguna,” katanya.

Terdahulu, Dashboard Hartanah@Perak dirasmikan Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad, pada 3 Disember 2025 sempena Program Aspirasi Geospatial Negeri Perak 2025.

Sumber: Sinar Harian

ms_MYEnglish