Parit: Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Azhar Rosazmi, 38, memilih bidang pertanian fertigasi sebagai kaedah berbakti kepada negara melalui usaha sekuriti makanan.

Bapa tiga anak itu membuat keputusan bersara daripada perkhidmatan awam pada 2019 selepas 15 tahun berkhidmat demi meluangkan lebih masa bersama keluarga.

“Unit terakhir saya adalah Markas Udara TLDM, sebelum itu saya banyak berlayar di atas kapal dan berjauhan dari keluarga.

“Isteri saya guru, jadi sukar untuk kami bercuti serentak. Saya tidak mahu lagi berjauhan dengan keluarga, jadi saya tekad bersara,” katanya.

Azhar berkata, bermodalkan wang pencen sebagai Leftenan TLDM, beliau membeli tanah seluas 0.8 hektar di Kampung Tanjung Aur, Bota Kiri, di sini dan mula mencuba nasib dengan menanam cili secara fertigasi.

Namun, perjalanan Azhar diuji hebat ketika pandemik COVID-19 melanda, sekali gus menyaksikan harga cili menjunam teruk.

“Pada waktu itu, harga cili jatuh dari RM13 sekilogram jatuh kepada hanya RM4 sekilogram di pasaran menyebabkan kerugian besar.

“Saya cuba pula beralih kepada tanaman timun dan hasilnya lebih baik. Namun, selepas seminggu saya tuai hasil pertama, ribut pula melanda kebun.

“Tiang para timun saya yang dibuat daripada buluh roboh. Pada waktu itu saya rasa seperti hendak putus asa,” katanya.

Bagaimanapun, berkat sokongan kuat dari isteri tercinta, beliau memulakan proses menaik taraf kebunnya dengan menggantikan struktur sokongan pokok timun dari para buluh kepada sistem para besi yang lebih kukuh.

Tambahnya, titik perubahan sebenar adalah apabila beliau menerima geran bantuan bernilai RM20,000 daripada Jabatan Pertanian Perak menerusi program Agropreneur Muda pada 2023.

“Saya manfaatkan geran itu untuk pembelian besi biru ‘C-channel’ bagi pembinaan para, cocopeat (serbuk sabut kelapa sebagai medium tanaman) dan baja.

“Mereka juga audit kebun saya untuk program Pensijilan Amalan Pertanian Baik (myGAP) dan memberikan bantuan seperti racun dan bakul sayur.

“Jabatan Pertanian Perak juga memberi bantuan peralatan bernilai sekitar RM10,000 yang merangkumi tangki air, pam air dan 100 guni cocopeat yang membolehkan saya mengembangkan pertanian daripada 2,000 beg poli tanaman timun kepada 6,000 ketika ini,” katanya.

Beliau berkata, bantuan itu membuktikan komitmen Jabatan Pertanian Perak selaku agensi peneraju flagship Lembah Bakul Makanan (Keterjaminan Makanan) seperti digariskan dalam pelan Perak Sejahtera 2030 cetusan idea Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Azhar berkata, daripada hasil keuntungan diperoleh, beliau membeli jentera traktor dan kenderaan pelbagai muka bumi (ATV) untuk memudahkan dan mempercepat kerja di kebun.

“Jumlah hasil tuaian boleh mencecah antara 300 kilogram (kg) sehingga 400kg timun setiap hari dan saya akan hantar sendiri ke pasar sekitar Sitiawan dan Air Tawar menggunakan kereta.

“Harga timun sekarang di pasaran sekitar RM1.60 per kg. Jika penghantaran dibuat melalui peraih, pekebun timun hanya boleh dapat 60 sen per kg. Dengan menghantar sendiri, saya dapat harga yang lebih baik,” katanya.

Beliau juga mempelbagaikan tanaman seperti peria besar, kacang panjang, kacang buncis dan labu air yang masing-masing menunggu tempoh matang untuk dituai buat kali pertama.

“Saya percaya bidang pertanian ini sangat baik dan dapat membantu orang kampung mendapatkan pekerjaan.

“Ia juga salah satu cara saya berbakti kepada negara, memastikan keselamatan dan keterjaminan makanan negara,” katanya yang kini menjadi tenaga pengajar Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT).

Sumber: Harian Metro

ms_MYEnglish