BATU GAJAH: Seorang pengusaha produk minuman berjaya bangkit semula daripada kegagalan perniagaannya sebelum ini hasil bantuan dan bimbingan Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP).
Samsuddin Nazeri, 51, kini bukan hanya menghasilkan produk sendiri berupa minuman berbotol jenama ‘A dy n’ di bawah syarikat Variety Hub Supplier, malah turut menjadi pembekal produk pengilang peralatan asal (OEM) syarikat lain termasuk rangkaian pasar raya besar termasuk Mydin.
Bermula di dapur belakang rumah dekat Tapah pada 2016 melalui dua varieti produk minuman dan mampu mengeluarkan antara 250 hingga 700 botol sehari, Samsudin menyasarkan pasaran di kawasan selatan Perak khususnya Tapah hingga Tanjung Malim sebelum kejatuhannya .
Bagaimanapun, beliau bangkit kembali selepas kejatuhannya dengan pembukaan kilang baharu di Siputeh, dekat sini sekitar empat tahun lalu sehingga kini mampu menghasilkan kira-kira 7,000 botol sehari.
Samsuddin berkata, perniagaan diusahakan pada 2016 rebah apabila peruncit mengamalkan aktiviti ala kartel, selain menanggung kerugian puluhan ribu ringgit apabila syarikat mengambil produk OEM diusahakannya tidak membayar hutang sehingga terpaksa menutup kedai.
Bekas penjawat awam itu berkata, perniagaannya bangkit kembali sekitar empat tahun lalu selepas menerima pinjaman RM20,000 daripada Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga Nasional (TEKUN), disusuli bantuan serta bimbingan STeP selaku pusat rujukan utama dan penyelaras program keusahawanan di bawah kerajaan negeri.
“Berbekalkan pinjaman RM20,000 itu, saya bangkit semula dengan memujuk semula kedai pada awalnya menolak mengambil produk saya disebabkan aktiviti berunsur kartel, selain
STeP bantu menambah unit mesin isian air termasuk membimbing saya mendapatkan bantuan daripada agensi lain.
“STeP memperkenalkan saya dengan bantuan Majlis Amanah Rakyat (MARA) serta Jabatan Pertanian, yang mana MARA Perak membantu saya mendapatkan geran halal sehingga memperoleh sijil halal dan mula memasuki pasaran koperasi sekolah serta premis kedai dalam hospital.
“Melalui program anjuran STeP, saya dibantu menyertai pelbagai pameran seperti MATTA Fair. Penyertaan dalam pelbagai acara sebegini membantu saya membina jaringan dengan syarikat besar bagi memasarkan produk OEM saya,” katanya kepada BH.
Bapa kepada empat anak itu berkata, pihaknya sedang berusaha menembusi pasaran eksport atas dorongan STeP melalui Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) yang akan menampilkan ribuan reruai mewakili puluhan negara selain pameran ‘Gate to Global’ di bawah bimbingan MARA.
Katanya, kilangnya turut menerima bantuan Jabatan Pertanian bagi pembelian mesin selain menerima bimbingan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam urusan pemasaran dan latihan eksport.
STeP diletakkan sebagai antara agensi peneraju bagi agenda ‘1 Keluarga 1 Usahawan dan 1 Daerah 1 Aktiviti Ekonomi’ di bawah Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat menerusi pelan pembangunan Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Sumber: Berita Harian

© 2025. All Rights Reserved.