Ipoh: Niat murni membantu suami menampung ekonomi keluarga ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mendorong seorang wanita dari Taman Rapat Setia di sini, memulakan perniagaan karipap sejuk beku.
Bagi Siti Fatehah Tajudin, 36, keputusan itu bukan sekadar usaha mencukupkan belanja harian malah kini menjadi punca rezeki utama buat dirinya, suami dan tiga anak mereka.
Menurutnya, perniagaan karipap sejuk beku itu tercetus pada tahun 2020 selepas PKP menyebabkan semua perniagaan dalam talian yang dijalankannya sebelum itu terhenti sepenuhnya.
“Ketika PKP, ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memberi bantuan barang dapur dan saya dapati banyak tepung serta minyak.
“Dari situlah saya teringat kemahiran membuat karipap yang saya pelajari waktu kecil dahulu ketika menolong ibu.
“Kami jual kepada jiran dan rakan terdekat pada harga satu paket RM5 untuk 10 ketul karipap inti sardin dan kentang,” katanya.
Selepas beberapa bulan, Fatehah mula menambah variasi inti termasuk kentang kari, sebelum mengembangkan produk kepada enam jenis inti termasuk ayam dan daging.
Namun katanya, proses awal tidak mudah kerana kekangan ruang, ilmu perniagaan dan pemasaran.
“Saya hanya memasarkan produk melalui WhatsApp dan Facebook sahaja. Pengeluaran pun kecil kerana penyediaan dibuat secara manual sahaja,” katanya yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Maritim dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL).
Situasi mula berubah pada Julai 2024 apabila Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) memperkenalkannya kepada program pembangunan peniaga menerusi kerjasama dengan TikTok Shop.
Fatehah turut menerima Geran Agropreneur Muda Fama berjumlah RM20,000 pada tahun 2021 yang digunakan untuk membeli peralatan dapur seperti mesin vakum, mesin canai, pengadun dan peti sejuk beku industri.
Pada Oktober lalu, dia menerima bantuan geran melalui Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) berupa mesin canai serta mesin pengisar industri bernilai RM2,000.
“Dengan bantuan ini, hampir 80 peratus proses kini menggunakan mesin dan ia sangat membantu meningkatkan pengeluaran dari 22 peket sehari, sekarang saya boleh hasilkan 150 hingga 200 peket sehari. Ini sekali gus membantu memenuhi tempahan dan menambah pendapatan kami,” katanya.
Kini Fatehah mempunyai dua pekerja sambilan dan masih beroperasi dari rumah.
Menariknya, perkembangan perniagaan Fatehah banyak digerakkan melalui platform digital.
“Sebanyak 90 peratus jualan datang dari TikTok dan Shopee. Selain itu, saya mengambil tempahan dari pejabat kerajaan, hospital dan perkhidmatan katering kecil-kecilan,” katanya.
Dia mengakui bantuan kerajaan menjadi pemangkin terbesar kepada kelangsungan perniagaan hari ini.
“Alhamdulillah, terima kasih kepada Fama dan STeP yang prihatin terhadap usahawan kecil seperti saya.
“Fokus saya sekarang adalah untuk terus belajar bagi mengembangkan lagi perniagaan dan dapat membantu ekonomi keluarga,” katanya.
Fatehah berkata, sokongan STeP membuktikan komitmen mereka sebagai agensi peneraju segmen 1 Keluarga 1 Usahawan, salah satu inisiatif dalam Pelan Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Sumber: Harian Metro

© 2025. All Rights Reserved.