PARIT: Bermula dengan enam ekor ayam kampung dipelihara di rumah, kira-kira 11 tahun lalu, seorang bekas penjawat awam kini berbangga dengan pulangan menguntungkan melalui perniagaan berasaskan penternakan ayam kampung diusahakannya.

Firdaus Nazarudin, 37, berjaya mengasaskan syarikat Dusoon Sara Enterprise (Dusoon) yang beroperasi di Kampung Telok Bedayong, Kampung Lambor Kanan, di sini.

Perniagaan dijalankan daripada menternak, sehinggalah kepada pengedaran ayam kampung segar serta sejuk beku, telur dan jualan anak ayam kampung.

Firdaus bersama isteri, Norain Mohd Taib, 39, kini turut menjadi pembekal peralatan ternakan ayam dan makanan ternakan, perunding reban bersistem, serta menyediakan kursus penternakan.

Menurut Firdaus, penternakan ayam kampung diceburinya pada 2014 hanya secara suka-suka kerana ternakan itu senang dan cepat membiak serta tidak memerlukan penjagaan rapi, namun mendapat permintaan tinggi daripada penduduk setempat.

Dia yang bertugas sebagai penjawat awam di ibu kota ketika itu, kemudiannya membuat keputusan berhenti kerja dan pulang ke kampung halaman bagi menjaga ibunya yang menghidap penyakit buah pinggang.

“Oleh kerana saya ada enam ekor ayam dibela sebelum ini di kampung, jadi sambil-sambil jaga ibu, saya mula giatkan lagi usaha itu. Ternakan ayam berkembang dan bertambah jadi 70 ekor dalam masa singkat,” katanya kepada BH.

Firdaus juga tidak lokek menyampaikan ilmu berkaitan penternakan ayam kampung, termasuk berkongsi melalui hantaran di media sosial yang menggunakan akaun AYAM Kampung Dusoon HQ.

Katanya, keupayaan menghasilkan sendiri makanan ayam kampung, selain menternak menarik minat Jabatan Pertanian Negeri Perak memberikan bantuan input pertanian kepada Dusoon di bawah projek rintis penanaman jagung bijian.

Menurut Firdaus, konsep effective microorganisms (EM) yang diperkenalkan di Dusoon berkeluasan 0.85 hektar mampu menempatkan lebih 3,000 ayam. Ia juga berupaya memastikan persekitaran kawasan ternakan bersih, bebas penyakit dan bebas bau kurang menyenangkan serta lalat.

Kemampuan Firdaus mengendalikan Dusoon membuatkan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) melantiknya sebagai tenaga pengajar dan mentor bagi program latihan kemahiran menerusi usaha sama membimbing penternak lain.

“Awalnya, Dusoon adakan usaha sama dengan Perak SADC melalui penyertaan 150 peserta untuk program kemahiran penternakan ayam kampung. Usah sama yang sama juga dijalankan bersama MAIPk sejak 2023 bagi Dusoon melatih 10 usahawan asnaf.

“Melalui Perak SADC selaku agensi pelaksana bagi Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (PLKK-KPLB), saya dilantik sebagai tenaga pengajar dan mentor bagi program ternakan ayam kampung dari 2019 hingga 2021,” katanya.

Perak SADC serta Jabatan Pertanian menjadi antara agensi peneraju bagi . atau andalan Lembah Bakul Makanan Malaysia (Sekuriti Makanan) menerusi pelan pembangunan negeri, Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Melalui pelan pembangunan sama, MAIPk juga diletakkan sebagai agensi peneraju bagi agenda 1 keluarga 1 usahawan menerusi andalan Program Pembolehdayaan Modal Insan & Pembelajaran Sepanjang Hayat.

Sumber: Berita Harian

ms_MYEnglish