KUALA KANGSAR: Menyusuri Sungai Perak dengan menaiki Balai Gambang, perahu istiadat yang digunakan dalam upacara pertabalan Sultan Perak, sambil menghayati keindahan tradisi diraja negeri ini, pastinya menjadi pengalaman yang didambakan ramai.
Pengalaman sedemikian ditawarkan melalui perkhidmatan pelayaran Balai Gambang Cempaka Sari (BGCS) di Jeti Dataran Lembah Kuala Kangsar, di sini yang diletakkan di bawah pengurusan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk).
Balai Gambang dibina dan menjadi simbolik kepada Kesultanan Melayu Perak, wujud sejak 1754 semasa pemerintahan Sultan Perak ke-15, Sultan Iskandar Zulkarnain, namun BGCS dibina sempena Istiadat Pertabalan Sultan Perak ke-35, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada 13 Mei 2015.
Selepas kira-kira dua tahun operasinya dihentikan susulan struktur bot yang usang dan rosak, selain paras air Sungai Perak surut, kini pelayaran BGCS kembali beroperasi bermula Sabtu lalu.
Ketua Pengurusan Aset dan Fasiliti PKNPk, Mohd Harris Md Rodzi, berkata pengkomersialan perkhidmatan yang ditawarkan BGCS berpangkal daripada titah Sultan Nazrin khususnya dari sudut memperkasakan sektor pelancongan di Kuala Kangsar susulan tarafnya sebagai bandar diraja.
Katanya, penutupan operasi BGCS sebelum ini adalah bagi membolehkan kerja pembaikan berskala besar, termasuk perlu melalui proses perolehan dan sebut harga, selain proses memastikan bot itu dalam keadaan selamat sepanjang pelayaran dilakukan.
“Pada 2015 BGCS digunakan sempena istiadat pertabalan Tuanku (Sultan Nazrin) dan Tuanku menitahkan PKNPk untuk mengkomersialkannya, iaitu memberi rakyat merasai perjalanan berlayar di atasnya untuk ‘pusing’ di sekeliling kawasan Dataran Lembah.
“Sepanjang 2022, PKNPk berjaya memungut RM120,000 melalui hasil jualan tiket pelayaran BGCS, sekali gus menampakkan adanya permintaan dan daya tarikan untuk rakyat merasai pengalaman seakan pertabalan Sultan Nazrin pada 2015.
“Kita turut mendapat kerjasama baik dengan beberapa agensi terutama Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) yang berperanan menyediakan fasiliti berupa jeti kepunyaan mereka untuk orang ramai menaiki pelayaran BGCS,” katanya kepada BH.
Operasi BGCS
Pengoperasian BGCS yang mengambil masa kira-kira 30 minit bagi setiap pelayaran kini terhad pada setiap Sabtu dan Ahad antara jam 10 pagi hingga 6 petang, membabitkan bayaran tiket RM15 untuk dewasa, manakala RM10 untuk kanak-kanak serta warga emas.
Dengan kapasiti maksimum 28 orang bagi setiap pelayaran, pengunjung akan dibawa ke beberapa lokasi tarikan, termasuk lokasi penggambaran filem ikonik Hantu Kak Limah arahan Allahyarham Mamat Khalid serta lokasi penggambaran filem Anna And The King.
Kata Mohd Harris, selain dibawa ke tempat tarikan sedemikian, pengunjung juga disajikan dengan penceritaan mengenai sejarah kesultanan yang pernah tercatat, khususnya di sekitar kawasan lembangan Sungai Perak sekitar Lembah Kuala Kangsar oleh individu berpengalaman.
Menurutnya, pengoperasian semula BGCS selepas ditutup kira-kira dua tahun, menjadi nilai tambah kepada sektor pelancongan di bandar diraja ini, terutama apabila trek berbasikal Living River Bike Trail sepanjang 25 kilometer siap dibangunkan pada Oktober lalu.
“Kapten (pemandu bot) BGCS ini adalah orang sama yang membawa Sultan Nazrin menaiki Balai Gambang ketika istiadat pertabalan baginda pada 2015. Jadi sambil mengemudi, beliau sendiri yang akan menceritakan sejarah di sepanjang lembah ini.
“Balai Gambang itu sendiri adalah aset kepunyaan PKNPk. Jadi ia mungkin menjadi nilai tambah kepada produk pelancongan MPKK selaku pihak berkuasa tempatan (PBT), iaitu apabila dengan kepelbagaian aset sebegitu mampu menarik lebih ramai pelancong datang ke sini,” katanya.
PKNPk diletakkan sebagai antara agensi peneraju kepada ‘flagship’ Ekonomi Pengalaman di bawah agenda Pelancongan Peradaban dan Kesejahteraan Nusantara yang digariskan melalui pelan pembangunan negeri Perak Sejahtera 2030 yang diilhamkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Di bawah ‘flagship’ sama pelan Perak Sejahtera 2030, PBT di sepanjang Sungai Perak iaitu termasuk MPKK, diletakkan sebagai agensi peneraju kepada agenda Pelancongan Pesisir Sungai.
Sumber: Berita Harian

© 2025. All Rights Reserved.