PADANG RENGAS: Keputusan menceburi bidang penternakan tidak pernah dikesali seorang graduan lepasan universiti dari Amerika Syarikat (AS) yang kini bergiat aktif dalam penternakan serta pengkomersialan ayam belanda atau ayam piru, di sini, secara sepenuh masa.

Santing Agri Farm di Kampung Lalang, yang diusahakan Mohamad Zainul Hilmi Mohamad Wajdi, 33, sejak tahun 2018 kini menternak kira-kira 2,000 ayam belanda selain beberapa ternakan lain termasuk puluhan lembu serta biri-biri jenis Barbados Blackbelly.

Ladang seluas dua hektar diusahakan Mohamad Zainul turut menjual makanan dan barangan ternakan untuk unggas serta ruminan di ladang. Ia termasuk dedak bokashi, bahan kompos organik yang dihasilkan melalui proses penapaian (fermentasi) dan dihasilkan dengan formulasi tersendiri.

Lepasan bidang psikologi dari University of Iowa, AS itu berkata, semuanya berputik daripada minatnya yang menggemari haiwan eksotik.

Pada masa sama, sejurus tamat pengajian universiti, beliau diamanahkan mengambil alih tanah yang sebelum itu diusahakan oleh ibunya dengan tanaman pertanian.

“Emak saya membuka tanah ini sejak 2013 untuk tanaman fertigasi seperti cili, terung dan kacang bendi. Selepas saya ambil alih, saya ubah fokus kepada penternakan kerana minat terhadap haiwan,” katanya ketika ditemui BH.

Beliau berkata, ayam piru atau nama saintifiknya, meleagris gallopavo kini mendapat permintaan tinggi khususnya, ketika menyambut beberapa perayaan seperti Deepavali dan Krismas.

“Pada Ogos 2018, saya bermula dengan 80 ekor ayam belanda. Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2020, permintaan meningkat dan ada pelanggan yang mula menjalin usahasama untuk mendapatkan bekalan tetap setiap bulan hingga sekarang,” katanya.

Menurutnya, permintaan tinggi turut dipacu oleh peraturan semasa yang melarang import ayam belanda dari luar negara bagi membendung penularan wabak.

Beliau berkata, bimbingan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) sangat membantunya pergi jauh, selain bantuan daripada beberapa lagi agensi termasuk Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menerusi Geran Agropreneur Muda RM15,000.

“Geran daripada MAFI yang saya terima pada 2019 digunakan untuk tambahbaik kandang, menambah beberapa mesin selain turut menambah bilangan ternakan.

“JPV pula banyak membantu termasuk daripada segi padanan perniagaan,” katanya.

Beliau mengakui, industri ayam belanda masih kurang diberi perhatian kerana dikategorikan sebagai “aneka” dan bukan “unggas”, namun yakin potensinya besar memandangkan bekalan tempatan masih belum mencukupi.

“Walaupun ia bukan makanan rutin rakyat Malaysia, ayam belanda ada pasaran khusus tersendiri. Dagingnya juga digemari kerana rasanya di antara ayam dan kambing,” katanya.

Jelasnya lagi, pengalaman lebih lapan tahun dalam bidang itu akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk membantu memperkukuh sekuriti makanan negara.

Mohamad Zainul turut menyifatkan, pulangan daripada penternakan yang dijalankan amat berbaloi, berbanding kerjaya asal dalam bidang psikologi.

JPV diletakkan sebagai agensi penaraju dalam pelan pembangunan negeri, Pelan Perak Sejahtera 2030 cetusan ilham Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menerusi ‘flagship’ Lembah Bakul Makanan Malaysia (Sekuriti Makanan).

Sumber: Berita Harian

ms_MYEnglish