Parit: Anak pengait sawit dari Felcra Nasaruddin, di sini, tekad mahu menjadi guru demi mengubah nasib keluarganya.
Nur Hazwani Mat Sum, 20, berkata, impian itu didorong minatnya dalam bidang pendidikan selain terinspirasi daripada seorang guru kaunseling yang banyak membantunya ketika di sekolah.
Anak kelima daripada enam beradik itu berkata, bapanya, Mat Sum Ujud, 60, bekerja sebagai peneroka yang melakukan kerja mengait sawit manakala ibunya, Normala Muhayat, 53, ialah suri rumah.
Kesulitan keluarga Nur Hazwani mendapat perhatian kerajaan negeri Perak yang menawarkan dia menyertai Program Anak Angkat Cikgu Saarani (AACS) kendalian Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR).
“Saya mula menyertai program berkenaan ketika di penghujung Tingkatan Empat selepas dipilih berdasarkan prestasi akademik sebelum melalui proses temuduga dan lawatan ke rumah.
“Sepanjang program itu, saya menerima pelbagai bentuk bantuan termasuk komputer riba, kelas tuisyen, elaun bulanan RM100 serta penyertaan dalam aktiviti pembangunan diri.
“Semua bantuan itu saya gunakan untuk keperluan pembelajaran seperti menyiapkan kerja kursus, membayar yuran dan membeli kelengkapan termasuk pencetak,” katanya.
Katanya, dia menamatkan persekolahan menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Iskandar dengan memperoleh keputusan 9A dan 1B dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Nur Hazwani kemudiannya menyambung pengajian di Tingkatan Enam di SMK Iskandar Shah yang terletak 20 kilometer dari rumah.
“Setiap hari, ayah berulang-alik menghantar saya dengan menaiki motosikal.
“Alhamdulillah, berkat bimbingan guru serta doa ibu dan ayah, keputusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang diumumkan baru-baru ini saya memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.92,” katanya.
Katanya, dia terhutang budi dengan kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad yang prihatin terhadap pendidikan pelajar dari keluarga berpendapatan rendah.
Bantuan diterima menerusi program AACS membuktikan komitmen YBUDR dalam meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi rakyat serta kebajikan sosial selari pelan Perak Sejahtera 2030.
Sementara menunggu keputusan permohonan kemasukan ke universiti melalui Unit Pusat Universiti (UPU), Nur Hazwani berkata, dia bekerja sambilan sebagai pembantu jualan di kedai pakaian kanak-kanak di Seri Iskandar.
Katanya, jika diberi peluang, dia berhasrat melanjutkan pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam bidang pendidikan, khususnya Bahasa Melayu atau Geografi.
“Saya hendak jadi pendidik kerana ketika menghadapi tekanan semasa SPM dahulu, guru kaunseling banyak memberi sokongan dan mendengar setiap masalah saya.
“Sikap sabar serta dorongan yang diberikan beliau menjadi inspirasi untuk saya membantu pelajar lain pada masa depan,” katanya.
Sumber : Harian Metro

© 2026. Hak cipta terpelihara.