IPOH – Kehilangan kedua-dua ibu bapa pada usia muda tidak mematahkan semangat seorang anak tunggal dari Kampung Jong, Gerik untuk terus mengejar kejayaan dalam bidang perubatan.

Itulah kisah inspirasi Muhamad Assuwad Mohamad Yusof, 26, penerima Dermasiswa Profesional Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) yang kini melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Kardiologi di Management and Science University (MSU), Shah Alam.

Muhamad Assuwad berkata, bantuan tajaan penuh daripada MAIPk termasuk elaun sara diri sebanyak RM900 sebulan amat bermakna dalam memastikan kelangsungan pengajiannya.

“Saya terima RM600 untuk makanan dan RM300 bagi penginapan setiap bulan selama dua tahun.

“Bantuan ini sangat membantu kerana sebelum ini semua saya lakukan sendiri tanpa tajaan sesiapa,” katanya ketika ditemui pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Biasiswa dan Dermasiswa Profesional MAIPk di Hotel Casuarina@Meru Raya baru-baru ini.

Menurutnya, ketika belajar dalam program Diploma Sains Perubatan, beliau berdikari dan semuanya dilakukan sendiri kerana kedua ibu bapanya meninggal ketika beliau berusia 17 tahun.

“Saya hanya bergantung pada ALLAH, apa sahaja yang saya buat, saya akan letak ALLAH paling utama,” katanya.

Muhamad Assuwad berkata, minatnya dalam bidang kardiologi didorong oleh kesedaran terhadap peningkatan kes penyakit jantung dan kematian mengejut dalam kalangan masyarakat.

Dalam pada itu, Muhammad Assuwad berterima kasih kepada seorang pegawai MAIPk cawangan Gerik yang banyak membantu sehingga beliau berjaya menerima tajaan berkenaan.

Bagi Muhamad Assuwad, bantuan MAIPk bukan sekadar sokongan kewangan, malah membuka peluang kepada pelajar kurang berkemampuan untuk melangkah ke menara gading dan mengubah masa depan.

Sementara itu, Pengurus Besar Bahagian Agihan Zakat MAIPk, Suhaimi Yusoff berkata, pihaknya terus komited memastikan pelajar daripada keluarga asnaf tidak sesekali tercicir daripada memperoleh peluang dalam bidang pendidikan.

Jelasnya, antara inisiatif dilaksanakan MAIPK termasuklah bantuan kewangan Skim Biasiswa Pelajaran Baitulmal bernilai RM1,500 setiap tahun kepada lebih 300 orang pelajar terpilih daripada keluarga fakir dan miskin yang berada di tingkatan empat dan lima dalam negeri Perak.

Tambah beliau, MAIPk turut menaja 26 mahasiswa cemerlang daripada keluarga berpendapatan rendah melalui Skim Bantuan Dermasiswa Bidang Profesional Dalam Negara meliputi pelbagai bidang seperti sains kesihatan, perubatan, kejururawatan, farmasi, sains kejuruteraan dan matematik.

Menurut Suhaimi, MAIPk memperuntukkan sebanyak RM1.67 juta pada tahun 2025 meliputi tajaan yuran pengajian, penginapan dan elaun sara hidup sehingga mereka tamat pengajian.

“Kita tak mahu dengar ada anak-anak orang Islam yang tak dapat sambung belajar hanya kerana tak ada sumber kewangan.

“Ini hasrat MAIPk dalam kita hendak memastikan mereka dapat akses pendidikan sama seperti anak-anak lain,” katanya.

Inisiatif yang dilaksana MAIPk ini merupakan sebahagian usaha di bawah Flagship Pelan Perak Sejahtera 2030 iaitu Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat yang diilhamkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Sumber: Sinar Harian