Selama: Lupakan kesibukan kota, bayangkan pengalaman meredah arus deras Sungai Selama yang jernih, dikelilingi kehijauan alam semula jadi dengan hanya RM130 di tangan.
Ini bukan lagi angan-angan, tetapi realiti yang menanti peminat sukan lasak di Selama, Perak, sebuah destinasi ekopelancongan yang kini menjadi sebutan ramai.
Di sebalik pengalaman padu ini, tersimpan kisah inspirasi anak jati Selama, Mohd Idrus Abd Wahid, 56, yang sanggup meninggalkan kerjaya sebagai pengusaha kilang cat di Johor demi menabur bakti di kampung halamannya.
Berbekalkan semangat untuk melihat kampungnya maju, beliau menjadi perintis yang mengubah Sungai Selama daripada sekadar sebatang sungai kepada ‘lombong emas’ pelancongan yang kini memberi rezeki kepada belia tempatan.
“Niat untuk menyumbang di kampung ni dah lama.
“Apabila pulang ke kampung pada 2019, saya fikir kena jaga sungai ini dan salah satu caranya adalah dengan memanfaatkannya untuk aktiviti,” katanya kepada Harian Metro.
Bagi pengunjung yang dahagakan adrenalina, pakej utama white water rafting sejauh 4.5 kilometer ini menjanjikan debaran selama dua jam.
Bermula dari Lata Rambong, peserta akan dibawa menyusuri jeram-jeram mencabar sebelum berakhir di Selama Beach Campsite.
Setiap bot rakit boleh memuatkan seramai tujuh orang peserta, dikemudi oleh seorang pemandu arah berpengalaman, menjadikan ia sesuai untuk trip bersama rakan-rakan mahupun keluarga.
Pakej berbaloi ini bukan sahaja merangkumi pengalaman berakit, tetapi juga lengkap dengan makan tengah hari dan perlindungan insurans.
Bimbang ia terlalu lasak untuk keluarga, pemilik Nature Eco Adventure ini turut menawarkan pakej mesra keluarga yang kini menjadi produk pelancongan laris.
“Kita ada ‘short river cruise’. Airnya santai sahaja, laluannya agak mendatar dan tiada jeram. Jadi semua orang boleh naik, orang tua, kanak-kanak, semua boleh. Harganya cuma RM15 seorang,” jelasnya.
Apa yang menjadikan pengalaman di sini lebih istimewa adalah ia diusahakan sepenuhnya oleh anak tempatan.
Mohd Idrus kini melatih 12 belia kampung sebagai pemandu arah (guide), memastikan setiap ringgit yang dibelanjakan oleh pengunjung memberi manfaat langsung kepada ekonomi komuniti di situ.
Kejayaan ini tidak akan tercapai tanpa sokongan padu daripada pelbagai agensi kerajaan misalnya Majlis Daerah Selama bertindak sebagai rakan strategik utama yang memudahkan urusan perlesenan dan promosi, manakala Tourism Perak membantu mempromosikan Selama sebagai destinasi pelancongan baharu.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula memberi kebenaran untuk menggunakan rizab sungai bagi membina tapak perkhemahan, sementara Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyalurkan peruntukan melalui majlis daerah untuk membina pusat pelepasan rakit yang sesuai dan selamat.
Bagi pengunjung yang ingin bermalam, mereka boleh memilih untuk menginap di tapak perkhemahan yang disediakan atau menyewa inap desa yang diusahakan oleh penduduk kampung, sekaligus membantu menjana pendapatan tambahan kepada komuniti setempat.
Mohd Idrus berkata, sokongan agensi berkenaan membuktikan komitmen mereka sebagai agensi pelaksana flagship Ekonomi Pengalaman, salah satu inisiatif dalam Pelan Perak Sejahtera 2030 yang diilhamkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.
The . itu bertujuan memanfaatkan warisan budaya dan pengalaman unik Perak sebagai daya tarikan pelancongan dan pemangkin ekonomi.
Jadi, bagi sesiapa yang mencari satu destinasi percutian yang menawarkan pakej lengkap, lasak, santai dan mesra poket, Sungai Selama adalah jawapannya.
Sumber: Harian Metro

© 2025. All Rights Reserved.