
SERI ISKANDAR: Pembinaan kilang pembuat komponen elektrik dan elektronik, XP Power Pte Ltd membabitkan pelaburan bernilai kira-kira RM300 juta bakal menyediakan lebih 1,200 peluang pekerjaan kepada penduduk di Perak.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata pelaksanaan fasa pertama projek yang dikenali sebagai Asia III itu bakal menjadikan ia sebagai pelaburan terbesar XP Power di rantau ini.
Katanya, projek berkenaan akan dijayakan oleh anak syarikat XP Power yang telah bertapak di Amerika Syarikat (AS), Jerman, China dan Vietnam.
“Pembinaan kilang di atas tapak seluas 8.5 hektar di Taman Perindustrian Farmaseutikal Seri Iskandar di Perak Tengah ini akan bermula bulan ini dan dijangka siap beroperasi sepenuhnya pada 2024.
“Dengan kepakaran hasil pengalaman lebih tiga dekad dalam industri sejak 1988 serta reputasi sebagai antara 250 syarikat yang tersenarai dalam Bursa Saham London, saya yakin operasi XP Power ke Perak akan menyediakan ruang yang luas kepada proses pemindahan teknologi dan pengetahuan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Bagi Projek Pembangunan Fasiliti Kilang Elektrik & Elektronik XP Power (Malaysia), Taman Perindustrian Farmaseutikal dekat sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Datuk Shahrul Zaman Yahya; Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed; Ketua Pegawai Kewangan XP Power, Oskar Zahn dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Lim Bee Vian.
Saarani berkata, pelaburan berimpak tinggi ini dijangka menjana 1,200 peluang pekerjaan.
“Kerajaan negeri sangat mengalu-alukan komitmen dan kesediaan XP Power untuk menjalin kerjasama dengan institusi kemahiran dan pengajian tinggi tempatan bagi menggunakan sebanyak mungkin tenaga kerja dan kepakaran tempatan.
“Bagi tujuan itu, saya dimaklumkan XP Power berminat untuk menjalankan kerjasama dengan Universiti Teknologi Petronas (UTP), Politeknik Ungku Omar (PUO), Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Taiping, Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Institut Latihan Perindustrian (ILP) Ipoh dan Pusat Pembangunan Usahawan Dan Kemahiran Negeri Perak (PESDC) Ipoh,” katanya.
Beliau berkata, kehadiran syarikat yang memiliki reputasi besar di peringkat global seperti XP Power menggambarkan kapasiti Perak untuk kekal berdaya saing dalam menarik pelaburan asing, sekali gus mengukuhkan proses pemulihan ekonomi pasca COVID-19.
“Saya yakin, keputusan XP Power memilih Perak untuk mendirikan kilang pertamanya di Malaysia dan ketiga di Asia Tenggara bukan sahaja akan mencipta dorongan baharu untuk syarikat itu mengembangkan jaringan operasinya di rantau ini, malah menunjukkan Perak terus kekal kompetetif dalam menarik pelaburan asing.
“Malah, saya melihat keputusan XP Power untuk memilih Perak menunjukkan langkah pemulihan ekonomi yang sedang giat dilaksanakan oleh kerajaan negeri semakin membuahkan hasil, sekali gus membantu mengukuhkan semula asas ekonomi bagi memberi keyakinan kepada pelabur baharu dan juga pelabur sedia ada,” katanya.
Beliau berkata, projek ini sejajar dengan matlamat yang digariskan dalam pelan Perak Sejahtera 2030 untuk menjadikan Perak sebagai negeri mesra pelabur dengan mengurangkan kerenah birokrasi serta membina ekosistem yang bersesuaian dengan kehendak pelabur termasuk memperkasa keberkesanan tadbir urus.
“Kehadiran XP Power Malaysia tentunya memberi kesan yang sangat signifikan kepada pembangunan negeri secara umum dan daerah Perak Tengah secara khusus,” katanya.
Source : Berita Harian