WARISAN jangka bertanding di 5 kawasan di Perak pada PRU-15
Pengerusi WARISAN Perak, Datuk Seri S Sunther

IPOH: Parti Warisan (WARISAN) dijangka bertanding di lima kawasan di Perak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), kata Pengerusi negerinya, Datuk Seri S Sunther.

Bagaimanapun, beliau berkata, kawasan yang akan ditandingi sama ada di kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) masih belum diputuskan dan tertakluk kepada perbincangan akhir bersama peringkat negeri dan pusat dalam masa terdekat.

“Penting untuk kita buat analisis kawasan mana yang sesuai untuk ditandingi. Kita tidak mahu apa yang terjadi ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berulang. 

“Kita perlu ada pelan strategik dan buat pemilihan atau keputusan yang betul,” katanya.

Pada 18 Jun lalu, Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ketika menerima borang keahlian parti di sini, memaklumkan parti itu hanya akan bertanding di kerusi Parlimen dan DUN Perak yang diyakini mampu mencapai kemenangan.

Mohd Shafie berkata, WARISAN tidak bertanding di semua kerusi yang ada dan perlu selektif untuk kerusi yang diyakini boleh dimenangi, selain kepimpinan negeri perlu giat memperkuat parti yang setakat ini lima bahagian sudah digerakkan sejak tahun lalu iaitu Tambun, Ipoh Barat, Ipoh Timur, Parit serta Padang Rengas.

Sementara itu, Sunther menafikan dakwaan kononnya terdapat kira-kira 600 ahli daripada lapan bahagian di negeri ini mengisytiharkan keluar parti berkenaan hari ini selepas hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan.

“Kebanyakan mereka bukan ahli, hanya segelintir. Kita pernah bertemu beberapa orang yang dipercayai ketua kumpulan itu yang membantu parti mencari ahli baharu tetapi kita tidak pernah memberi jawatan, atau melantik mereka (sebagai ketua cawangan atau bahagian),” katanya.

Di Pulau Pinang, Ketua Penyelaras WARISAN di Semenanjung, Dr Rajiv Bhanot, berkata WARISAN perlu mengambil pendekatan realistik jika parti itu mengambil keputusan bertanding pada PRU-15 di Semenanjung. 

“Kami mahu bertanding di kerusi strategik yang kami rasa parti mempunyai peluang besar untuk menang. PRU-15 juga adalah detik permulaan WARISAN di Semenanjung Malaysia,” katanya. – BERNAMA

Source : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *