Tuntut segera pasport sudah diperbaharui sebelum terbatal
Hamzah pada program ‘Jelajah Kita Demi Negara’ di Astaka Batu Kurau, hari ini. – NSTP/SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI

LARUT: Rakyat Malaysia yang sudah memperbaharui pasport, termasuk secara dalam talian, perlu menuntut segera dokumen itu sebelum ia terbatal dalam tempoh 90 hari.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, menjelaskan bahawa menjadi tanggungjawab individu berkenaan untuk menuntut dokumen itu sendiri, walaupun mereka berkemungkinan menghadapi kekangan tertentu untuk berbuat sedemikian.

“Selepas tempoh 90 hari, individu terbabit perlu membuat permohonan semula dengan pembayaran penuh,” katanya katanya kepada pemberita pada majlis penutupan program ‘Jelajah Kita Demi Negara’ di Astaka Batu Kurau, hari ini.

Beliau mengulas laporan media sebelum ini bahawa lebih 2,600 pasport rakyat Malaysia yang sudah diperbaharui, termasuk secara dalam talian, masih belum dituntut.

Sementara itu, Hamzah meminta rakyat terus menjadi ‘mata-mata’ menyalurkan maklumat bagi membantu usaha kerajaan membanteras kegiatan menyalahi undang-undang.

Katanya, kerjasama daripada orang awam adalah penting, dan kerajaan tidak akan berdiam diri terhadap individu atau kumpulan penjenayah di negara ini.

Malah, beliau berkata, penahanan 60 pendatang asing tanpa izin (PATI) bersama penemuan lima senjata jenis senapang angin buatan sendiri dalam operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) di Perkampungan Nelayan, Kuala Gula, Kerian, Perak, kelmarin, adalah hasil maklumat orang ramai.

“Kita tidak akan membiarkan mana-mana golongan melakukan kesalahan dan berkeliaran dengan mudah dalam negara.

“Oleh itu, maklumat atau kerjasama diperlukan daripada rakyat. Daripada maklumat diberikan itulah, kita dapat mengetahui tempat tertentu yang mempunyai penjenayah boleh merosakkan nama baik negara kita sendiri,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan, kerjasama atau maklumat daripada rakyat akan membolehkan pihak berkuasa mengetahui, sekali gus mengambil tindakan lebih awal bagi mencegah suatu kegiatan menyalahi undang-undang itu daripada merebak ke lokasi lain di negara ini.

Source : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *