Timbalan Presiden Mapim meninggal dunia

IPOH – Timbalan Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Zulkifly Ibrahim meninggal dunia akibat komplikasi buah pinggang dan jangkitan kuman pada tengah hari tadi di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Perkara itu disahkan oleh anaknya, Zaim Sidqi Zulkifly yang memaklumkan Allahyarham dimasukkan ke IJN pada 3 Julai lalu bagi menjalani pembedahan pada 5 Julai 2022.

Bagaimanapun katanya, kesihatan Zulkifly mula merosot pada 15 Julai dan menjalani rawatan sebelum menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 12.40 tengah hari.

Menurutnya, ketika hidup, Allahyarham banyak terlibat dengan aktiviti kemasyarakatan menerusi kegiatan bersama Mapim.

“Allahyarham sangat aktif dalam program-program pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Mapim selaku timbalan presiden.

“Ayah sebelum ini berhasrat mahu menyempurnakan pembinaan Kompleks Baitul Ridzuan tetapi hajat itu tidak kesampaian,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Menurutnya, selain berperanan dalam Mapim, Allahyarham juga merupakan Pengerusi Masjid Muhammad Al-Fateh, Taman Jati, di sini.

Dalam pada itu, Zulkifly, 60, sebelum ini juga aktif berpolitik dan pernah menjadi Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak pada tahun 2008 selain pernah dan Ketua PKR Cabang Tambun.

Allahyarham juga pernah menjadi calon Pilihan Raya Umum (PRU) bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi pada tahun 2004 dan tahun 2008 di DUN Bukit Chandan.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi PKR Perak, Datuk MA Tinagaran berkata, Zulkifly merupakan pemimpin yang sangat disegani dan juga seorang reformis tulen.

Menurutnya, Allahyarham merupakan antara penggerak awal PKR di Perak dan meninggalkan legasi yang besar di dalam kepimpinan PKR di negeri ini.

Jenazah Zulkifly akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Meru Raya, di sini selepas solat Maghrib pada Selasa.

Source : Sinar Harian