Saarani pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO Kerajaan Perak hari ini. NSTP/L. MANIMARAN

IPOH: Tiada laporan diterima Kerajaan Perak mengenai sebarang kes kecurian mahupun cubaan meneroka secara haram unsur nadir bumi (REE) di negeri ini seperti dilaporkan berlaku di Kedah.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata bagi lantanid di Mukim Kenering, Hulu Perak umpamanya, perlombongan REE bukan radioaktif (NR-REE) di situ tertakluk sepenuhnya kepada prosedur operasi standard (SOP) dan menjadi projek rintis, justeru tiada ruang bagi kegiatan menceroboh kawasan itu.

Beliau berkata, sebagai galian mineral baharu, masih tiada SOP bagi penjualan NR-REE terbabit yang turut dikenali sebagai lantanid.

“Kita tidak terima laporan berkaitan cubaan ataupun kegiatan mencuri lantanid sebab kita adalah kerajaan negeri yang pertama diberikan lesen sebagai projek perintis dan terikat serta tertakluk sepenuhnya dengan SOP.

“Jadi tiada orang atau ruang untuk masuk membuat kerja (secara haram) di situ (mencuri) sebab dia nak jual ke mana kerana belum ada SOP untuk menjual galian itu,” katanya selepas menyempurnakan pelancaran Bantuan Sara Diri Mahasiswa dan Bantuan Kecemasan Mahasiswa, di bawah inisiatif Tuisyen Cikgu Saarani (TCS) di Pejabat Menteri Besar Perak, di sini, hari ini.

Media semalam melaporkan 52 lelaki ditahan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) selepas disyaki melakukan aktiviti penerokaan REE secara haram di Hutan Simpan Bukit Enggang, minggu lalu.

Sementara itu, ditanya dakwaan di media sosial mengenai terdapat sungai berubah warna di Gerik akibat perlombongan lantanid yang turut mengakibatkan kemusnahan biodiversiti hidupan sungai itu, Saarani berkata, pihaknya tidak menerima laporan berkenaan.

Beliau berkata, jika benar dakwaan itu, pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan menyiasat perkara terbabit bersama Kementerian Kesihatan (KKM).

“Saya tak dapat lagi maklumat dan kepastian itu. Jika ada (pencemaran) bermakna JAS dan KKM akan membuat kajian sejauh mana kebenaran air sungai itu bertukar warna disebabkan perlombongan lantanid,” katanya.

Menerusi hantaran di Facebook Kami Orang Gerik (K.O.G) hari ini, didakwa air dari lombong turun hingga mengakibatkan ikan mati, selain keadaan air disifatkan kotor berasid mengalir dari Sungai Rui di Gerik yang kemudian memasuki Sungai Perak.