Sungai Kurau atau dikenali penduduk sebagai Sungai Gedung berpotensi menjadi salah satu produk pelancongan daerah Kerian.

SUNGAI Kurau sepanjang 58 kilometer bermula dari Kuala Kurau hingga ke Kampung Padang Lalang, Bagan Serai, Perak berpotensi menjadi destinasi ekopelancongan buat pencinta alam semula jadi mahupun kaki pancing.

Penduduk Kampung Sungai Kepah dan Teluk Medan juga melihat kawasan berhampiran jambatan keluli Sungai Kurau atau dikenali sebagai Sungai Gedung itu perlu dinaik taraf.

Lokasinya di tepi jalan utama Taiping – Bagan Serai itu dianggap strategik dalam menjalankan aktiviti seperti menyelusur sungai dan pasar terapung, sekali gus mampu menjana ekonomi masyarakat.

Dalam menjayakan hasrat itu, penduduk mengharapkan kerjasama semua pihak termasuk pihak swasta dengan menaik taraf sungai yang merupakan nadi utama nelayan darat berhampiran dan ia menjadi tempat rekreasi atau riadah pertama di kawasan berkenaan tanpa perlu bergerak jauh ke Taiping atau Parit Buntar.

Jambatan keluli Sungai Kurau atau Sungai Gedung dipercayai dibina pada tahun 1890-an.