Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, bercakap pada sidang media selepas menangguhkan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, hari ini. – Foto NSTP/BALQIS JAZIMAH ZAHARI

IPOH: Usul persendirian dibentang dan diluluskan buat pertama kali dalam sejarah Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, yang berlangsung di Bangunan Perak Darul Ridzuan, hari ini.

Usul berkenaan iaitu Enakmen Wasiat Orang-Orang Islam Negeri Perak, dibentangkan oleh Aminuddin Zulkipli (Behrang-PH) dan dipersetujui sebulat suara oleh 55 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang hadir.

Empat ADUN membahaskan usul berkenaan iaitu Howard Lee Chuan How (Pasir Pinji-DAP), A Sivanesan (Sungkai-DAP), Dr Abdul Aziz Bari (Tebing Tinggi-DAP) dan Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (Pangkor-BN).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata ia adalah kali pertama usul daripada persendirian dibawa masuk ke dalam dewan negeri dan dibahaskan serta diterima sebulat suara ahli dewan.

“Saya masuk penggal kelima di dewan negeri di sini dan pengalaman saya satu sejarah, yang mana Yang Dipertua Speaker memberi laluan kepada satu usul persendirian yang dibawa ADUN Behrang.

“Satu usul untuk membolehkan dewan memberi mandat kepada jawatankuasa pilihan khas, yang bertanggungjawab mengkaji enakmen yang ada di negeri Perak ini untuk mewujudkan enakmen berkaitan dengan wasiat,” katanya sejurus selepas menangguhkan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Saarani berkata, susulan itu, sebuah jawatankuasa bipartisan akan ditubuhkan untuk membolehkan mereka mengkaji, menggubal rang undang-undang dan dibahas serta diluluskan Sidang DUN.

Sementara itu, Speaker DUN Perak, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid, berkata usul berkenaan akan dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Bagi Mengkaji Enakmen-enakmen Negeri Perak, yang dipengerusikan oleh beliau sendiri.

Beliau berkata, usul itu akan dikaji terlebih dahulu mengikut pindaan dan akan mencadangkan kepada kerajaan.

Source : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *