Aznel menunjukkan bangunan kompleks komersial berstrata yang tertangguh pembinaanya akibat pandemik sebelum ini dan mencadangkan kawasan berkenaan dijadikan sebagai pusat bilik sejuk beku untuk dimanfaatkan kedua-dua negara.

PENGKALAN HULU – Kerajaan negeri Perak digesa merangka inisiatif untuk membangunkan kawasan pintu masuk sempadan antara Perak dan Betong, Thailand bagi merancakkan ekonomi setempat.

Suasana pintu masuk sempadan kedua-dua negara itu didapati semakin suram selepas Bazar Sempadan yang menjadi tumpuan pelancong sejak 20 tahun lalu dirobohkan pada tahun 2021 bagi memberi laluan kepada pembinaan semula gerai di kawasan berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Hulu, Datuk Aznel Ibrahim berkata, malangnya pembangunan yang dirancang menerusi peruntukan RM1.5 juta yang diumumkan kerajaan negeri tidak dapat dilaksanakan akibat pandemik Covid-19.

Menurutnya, disebabkan itu, menjadi kerugian kepada negeri dan penduduk setempat apabila kawasan berkenaan kehilangan daya penarik sama ada bagi warganegara mahupun pelancong dari Thailand yang masuk menerusi pintu sempadan tersebut.

“Sebelum ini pada tahun 2020, ada 40 gerai yang dibuat oleh Majlis Daerah Pengkalan Hulu (MDPH) untuk peniaga-peniaga menjual barang-barang dari Thailand. Menjadi kebiasaan pada Jumaat, Sabtu dan Ahad ia tempat tumpuan pelancong-pelancong yang datang ke Perak untuk singgah ke Pengkalan Hulu.

“Jadi, bagi saya, Bajet 2023 boleh mengembalikan peruntukan untuk pembangunan Bazar Sempadan atau pembangunan ekonomi di sempadan Malaysia-Thailand tersebut,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kawasan pintu masuk sempadan Malaysia-Thailand, di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, Aznel berkata, pembangunan Perak Border Gateway yang dicadangkan menerusi Pelan Perak Sejahtera 2030 perlu mengambil kira pandangan pemimpin setempat agar ia bersesuaian dengan keperluan penduduk tempatan.

Menurutnya, antara cadangan boleh dipertimbangkan ialah memanfaatkan bangunan kompleks komersial berstrata yang tertangguh pembinaannya akibat pandemik sebelum ini.

“Bangunan yang ada ini besarnya lebih daripada 48,000 kaki persegi dengan ketinggian dua tingkat dan lebihan tanahnya melebihi 35 ekar (14 hektar). Saya ingin mencadangkan kepada kerajaan negeri di dalam perancangan Perak Sejahtera 2030 untuk memajukan bangunan tertangguh ini, dijadikan sebagai ‘cold room center’ antara Malaysia-Thailand. Tempat penyimpanan ini dijangka boleh mendatangkan manfaat kepada kedua-dua negara.

“Saya lihat ada kawasan lapang seluas 30 ekar (12 hektar) yang saya fikir boleh dijadikan kawasan kontena transit. Kontena transit adalah jaringan atau kerjasama untuk meletakkan kontena dari Thailand atau Malaysia sebelum dibawa masuk ke kedua-dua negara,” katanya.

Aznel berharap kerajaan negeri memberikan komitmen membangunkan kawasan berkenaan kerana ia bakal memberi pulangan ekonomi bukan sahaja kepada kerajaan negeri tetapi penduduk setempat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *