Saarani sangkal dakwaan kenyataan Zahid bukan pendirian keseluruhan UMNO
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Saarani Mohamad

GERIK: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Saarani Mohamad menyangkal dakwaan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang menolak kerjasama bersama PAS dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bukan pendirian UMNO secara keseluruhan.

Saarani yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak berkata, berdasarkan pengalamannya, Ahmad Zahid tidak pernah membuat keputusan secara bersendirian, sebaliknya sesuatu keputusan oleh Presiden dibuat selepas melalui beberapa peringkat perjumpaan.

“Pengalaman saya, katalah kalau sebelah malam nanti UMNO hendak buat mesyuarat MKT, sebelum mesyuarat MKT akan ada satu mesyuarat Jawatankuasa Biro Politik UMNO yang dihadiri Presiden, Timbalan Presiden, tiga Naib Presiden, Ketua (sayap) Wanita, Pemuda, dan Puteri, Ketua Penerangan, dan Bendahari, selain kesemua Pengerusi Perhubungan termasuk saya.

“Sebelum mesyuarat Jawatankuasa Biro Politik itu, dipanggil pula mesyuarat Top 5 iaitu Presiden, Timbalan Presiden, dan tiga Naib Presiden, dan sebelum mesyuarat Top 5 itu pula biasanya akan ada perjumpaan dahulu di antara Presiden dan Perdana Menteri dan demikianlah amalannya.

“Pertama sekali dia (Presiden) akan bersembang sama ada berdua bersama dengan Timbalannya atau dia dengan Perdana Menteri dan keputusan itu akan dibawa ke mesyuarat Top 5. Seterusnya ia akan dibawa pula ke mesyuarat Jawatankuasa Biro Politik yang kami, Pengerusi Perhubungan semuanya hadir.

“Keputusan Biro Politik itu pula akan dibawa ke MKT untuk disokong oleh MKT. Maka itu adalah keputusan MKT walaupun ia datang dari mulut Presiden parti daripada awal,” katanya kepada pemberita sewaktu menghadiri Program MESRA Menteri Besar Perak sempena Karnival Eksplorasi Kemarian 2022 di Dewan Terbuka Sekolah Kebangsaan (SK) RPS Kemar di POS Kemar, di sini, semalam.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Hulu, Datuk Aznel Ibrahim; ADUN Temengor, Salbiah Mohamed; dan Pegawai Daerah Hulu Perak, Mohd Zairasyahli Shah Zakaria.

Saarani berkata demikian ketika ditanya pendiriannya mengenai kenyataan Abdul Hadi yang dilapor berkata, kenyataan Ahmad Zahid selaku Presiden UMNO yang menolak kerjasama bersama PAS dalam PRU-15 dianggap tidak mewakili pendirian parti itu secara keseluruhan.

Mengulas lanjut, Saarani berkata, tertubuhnya Muafakat Nasional (MN) di antara UMNO-PAS sebelum ini hanya atas dasar kesefahaman yang tidak membabitkan gabungan rasmi yang didaftarkan atas gabungan parti politik, bahkan tiada logo rasmi MN atau bendera rasmi sebagaimana gabungan Perikatan Nasional (PN) antara PAS-BERSATU.

Katanya, tindakan PAS yang dilihat masih mengharapkan kepada MN serta PN pada masa sama akan meletakkan PAS sendiri dalam keadaan tersepit.

Source : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *