Taiping: Perak bakal mengadakan sidang atau mesyuarat khas Dewan Undangan Negeri (DUN) berkaitan perlaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai peruntukan larangan ahli Dewan lompat parti.

Speaker DUN Perak, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid berkata, sidang khas itu dijangka sebelum pelaksanan Pilihan Raya Umum (PRU) 15, namun ia tertakluk kepada permohonan daripada pihak kerajaan negeri selain mendapat watikah perkenan daripada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

“Kita ada sedikit perbincangan untuk buat sidang khas. InsyaAllah dalam (tempoh) sebulan dua ini, serta kalau ikut kepada perancangannya, adalah apabila ia (RUU) sudah selesai diluluskan di peringkat Dewan Rakyat dan Dewan Negara dan kemudian drafnya juga siap.

“(Selepas itu) kita akan bawa ke Dewan Negeri dalam waktu yang terdekat sebelum dewan dibubarkan (untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum (PRU) 15). InsyaAllah kita jangkakan sebelum PRU 15,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sewaktu program Pra Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang 2022 negeri Perak di Dataran Warisan, di sini, hari ini yang turut menyaksikan sambutan kedatangan jelajah Konvoi Kembara Merdeka Keluarga Malaysia.

Terdahulu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dilapor berkata, kerajaan Perak akan membentangkan RUU Antilompat Parti pada sidang DUN selepas RUU itu diluluskan Dewan Rakyat pada Khamis lalu.

Saarani, tanpa secara terperinci menyatakan tarikh sidang DUN seterusnya, ketika itu turut dilapor berkata pindaan Undang-undang Tubuh Negeri perlu dibuat terlebih dahulu bagi membolehkan RUU berkenaan dikuatkuasakan di Perak agar ia selari dengan Perlembagaan Persekutuan.

Khamis lalu, Dewan Rakyat meluluskan Pindaan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan ahli Parlimen bertukar parti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *