Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) kini dalam proses mendapatkan hak milik blok bagi tapak tersebut

IPOH: Tanah seluas 6,143 ekar di wilayah Selarong, Mukim Pengkalan Hulu akan dibangunkan dalam memastikan pembangunan rumah mampu milik direalisasikan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) kini dalam proses mendapatkan hak milik blok bagi tapak tersebut.

“Di bawah LPHP terdapat tanah di Wilayah Selarong, Mukim Pengkalan Hulu, Daerah Hulu Perak dengan keluasan 6.143 ekar yang akan dibangunkan di kawasan DUN Pengkalan Hulu.

“Setelah hak milik blok diperoleh, perjanjian usahasama dengan pemaju akan dibuat bagi pembangunan Rumah Perkampungan Tersusun (RPT),” katanya ketika menjawab soalan lisan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-14 di sini pada Isnin.

Sementara itu, ketika menjawab soalan lisan berhubung keluasan yang dimiliki oleh agensi di bawah kerajaan negeri di Pengkalan Hulu yang telah dibangunkan, Nolee Ashilin memperincikan langkah yang diambil bagi memberi manfaat kepada rakyat di kawasan berkenaan.

Katanya, tanah LPHP di wilayah Nenering masih belum dapat dibangunkan kerana tanah tersebut sedang diusahakan oleh peserta projek berkelompok tanaman sayuran di bawah seliaan Pejabat Pertanian Kawasan Pengkalan Hulu.

“Sehubungan itu, LPHP telah memutuskan untuk melulus dan membenarkan peserta projek berkelompok tanaman sayuran tersebut untuk meneruskan aktiviti pertanian dalam tempoh tiga tahun.

“Dengan dikenakan kadar bayaran yang sama dengan Lesen Menduduki Sementara (LMS), sebelum diambil semula oleh LPHP untuk tujuan pembangunan perumahan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, ketika menjawab soalan tambahan sama ada terdapat kolaborasi LPHP dengan agensi lain sebelum ini, beliau menjelaskan, perkara itu sudah pun dilaksanakan demi pembangunan negeri.

“LPHP tiada masalah untuk bekerjasama dengan agensi lain, setakat ini kita telah bekerjasama dengan MB Inc. dan banyak lagi.

“Dalam perancangan kami pun dari tahun 2021, saya rasa lebih kurang 12,000 rumah telah pun dalam proses pembangunan bersama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Keseluruhannya hampir mencecah 21,000 (rumah) dalam peracangan yang telah siap bagi tempoh tahun 2023, jika ada yang berminat untuk bekerjasama, kita alu-alukan menerusi LPHP,” katanya lagi.

Mengulas lanjut mengenai syarat tambahan yang dikenakan bagi urusan pindah milik rumah kos rendah, beliau berkata, tindakan itu dibuat bagi mengelakkan salah guna dalam perkara itu.

“Kita tidak mahu ada ‘abuse’ (salah guna) berkenaan dengan pindah milik rumah kos rendah yang sudah disubsidi dengan harga yang begitu tinggi.

“Ada kebanyakan kes ia (rumah) jual dengan harga jauh lebih mahal daripada itu, menyebabkan golongan B40 yang sepatutnya miliki perumahan itu pada asalnya, tidak mampu atau terlepas untuk milikinya,” katanya lagi.

Source : Astro Awani