Foto hiasan.
Foto hiasan.

IPOH: Pusat Koreksional Kamunting (KEMTA) di Taiping, dekat sini, menghasilkan lebih 12 tan metrik bekalan makanan sebulan melalui usaha pertanian dan penternakan.

Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Razman Zakaria, berkata KEMTA antara institusi penjara yang menjalankan kemahiran dalam bidang agropertanian, penternakan serta perikanan bagi melahirkan usahawan sejak 20 tahun lalu.

“Hasil pengeluaran itu adalah untuk bekalan makanan sara diri seluruh penjara di Perak dan Kompleks Penjara Seberang Perai, Sungai Jawi di Pulau Pinang. 

“Ia seperti membekalkan ikan keli dan sayur-sayuran seperti tauge dan kangkung untuk dua hingga tiga kali dalam sebulan kepada seluruh penjara di Perak dan Pulau Pinang, atau di penjara Zon Utara,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, semasa pembentangan Bajet 2023 semalam, berkata sebanyak RM10 juta disediakan di bawah inisiatif agropenjara bagi memperluas aktiviti pertanian dan perladangan membabitkan 70 hektar tanah penjara.

Tengku Zafrul berkata, peruntukan itu antaranya untuk meluaskan penternakan lebah kelulut di Penjara Prabebas Dusun Dato’ Murad di Melaka dan meningkatkan bekalan ikan air tawar segar di KEMTA.

Dalam pada itu, Razman berkata, usaha kerajaan menyediakan peluang pekerjaan dan kemahiran membabitkan akuakultur ternakan ikan air tawar segar, selain pertanian dan penternakan sudah pun digerakkan kepada golongan banduan khususnya di KEMTA.

Beliau berkata, langkah itu bagi memastikan usaha mengoptimumkan penggunaan tanah untuk mempertingkat hasil akuakultur dapat direalisasi.

Katanya, Perak antara negeri utama pengeluaran hasil marin dan akuakultur yang menjadi elemen penting dan keutamaan pihak kerajaan dalam memperuntukkan sejumlah dana untuk membangunkan projek yang bakal dilaksana melalui inisiatif agropenjara. – BERNAMA

Sumber : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *