PRU15: BN Perak disasar menang sekurang-kurang 16 kerusi Parlimen
Mohamad (tengah) menyempurnakan perasmian Majlis Prapelancaran Jentera BN PRU15 Perak, malam tadi. – NSTP/L MANIMARAN

IPOH: Perak disasar menyumbangkan sekurang-kurang 16 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi membantu Barisan Nasional (BN) mencatat kemenangan dan membentuk kerajaan pusat, kata Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Kami mahu 11 kerusi Parlimen (sedang disandang BN) dikekalkan dan (bertambah) sekurang-kurang lima lagi, iaitu 16 (kerusi Parlimen) mesti ada daripada Perak.

“Saya sudah membuat perkiraan, ini bagi melengkapkan (jumlah kerusi Parlimen dimenangi kelak) supaya BN boleh menubuhkan kerajaan selepas PRU15 nanti,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Prapelancaran Jentera BN PRU15 Perak, di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Menteri Besar yang juga Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, BN juga menyasarkan untuk memenangi 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak pada PRU15, termasuk mengekalkan 27 kerusi disandang ketika ini.

Katanya, sasaran penambahan sembilan lagi kerusi DUN berkenaan dibahagikan kepada ‘tier’ (lapisan) pertama membabitkan lima kerusi, manakala yang kedua pula empat lagi kerusi.

Beliau berkata, ‘tier’ pertama membabitkan lima kerusi yang tewas dengan majoriti kurang 1,000 undi sebelum ini, iaitu DUN Chenderiang, Selama, Kubu Gajah, Titi Serong dan Behrang.

“Jadi, lima kerusi DUN itu senang-senang dalam tangan dan empat kerusi DUN lagi pun kita boleh dapat (ada peluang untuk dimenangi) kalau kerja kuat. Perak mempunyai majoriti kerusi yang selesa untuk mentadbir kerajaan selepas PRU15 nanti,” katanya.

Sementara itu berhubung perjumpaan dengan jentera BN PRU15 di sini pula, Mohamad berkata, Perak adalah negeri ke-11 dalam siri lawatan kesiapsiagaan jentera pilihan raya parti berkenaan.

“Hari ini (semalam) dan esok (hari ini) saya di Perak. Isnin depan, saya dan rakan-rakan akan ke Pahang selama dua hari.

“Jawatankuasa Pilihan Raya akan menyediakan laporan kepada parti mengenai tahap kesiapsiagaan BN di seluruh negara untuk menghadapi PRU15 yang boleh diadakan pada bila-bila masa saja.

“Berdasarkan hasil lawatan ke 10 negeri sebelum ini, kesiapsiagaan jentera sangat memuaskan. Walaupun ada sudut yang perlu diperkemaskan, rata-rata mereka sudah bersedia,” katanya.

Source : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *