IPOH: Polis Perak bersiap siaga dari segi keanggotaan dan aset bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlaku banjir di negeri ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, persediaan awal juga telah dilakukan dengan menghantar aset dan kelengkapan bagi tujuan penyelenggaraan.

“Kita sudah bersiap siaga untuk menggerakkan anggota dan aset pada bila-bila masa. Beberapa kawasan juga telah dikenal pasti kerap berlaku banjir termasuk di daerah Muallim, Hilir Perak, Kuala Kangsar dan Gerik.

“Aset dan kelengkapan sedia ada milik pasukan juga telah dihantar untuk proses pemulihan bagi memastikan tahap kesediaan sekali gus dapat memudahkan tugasan menyelamat semasa banjir,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, perbincangan juga telah dijalankan bersama agensi penguatkuasaan lain bagi tujuan penyelarasan tindakan yang perlu diambil bagi kawasan-kawasan yang terjejas.

“Perbincangan menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dan daerah itu antaranya melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

“Penyelarasan itu bagi membolehkan bantuan segera dijalankan melibatkan mangsa dan pemindahan barang,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, polis Perak telah menerima 30 buah bot penyelamat ‘fiberglass’ sumbangan kerajaan negeri untuk digunakan dalam operasi menyelamat di seluruh negeri terutama ketika banjir.

Katanya, bot penyelamat itu diagihkan kepada 15 buah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri ini sebagai melengkapi keperluan pasukan dalam menghadapi bencana tersebut.

“Bot berukuran 3.9 meter ini dipercayai amat efektif untuk digunakan dalam operasi menyelamat disebabkan ukuran dan saiznya yang mudah untuk dikendalikan.

“Dengan adanya bantuan dari kerajaan negeri ini, ia secara langsung akan meningkatkan motivasi pasukan untuk memberi khidmat yang terbaik kepada masyarakat,” katanya.

Source : UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *