Datuk Mior Faridalathrash Wahid menunjukkan dadah yang dirampas dalam serbuan polis. – Astro AWANI

IPOH: Serbuan ke atas dua rumah di sekitar Changkat Keruing di Manjung membawa kepada kejayaan Polis Perak menemukan dan merampas dadah pelbagai jenis yang bernilai hampir RM1 juta, pada Isnin.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata serbuan berkenaan dilakukan sepasukan anggota daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Manjung pada jam kira-kira 10 malam.

Katanya, dalam serbuan berkenaan seorang lelaki berusia 56 tahun telah ditahan selepas pihak polis menemukan dua paket plastik disyaki mengandungi dadah jenis heroin dan methamphetamine masing-masing dianggarkan seberat 2.06 gram dan 1.16 gram (g).

“Pemeriksaan di dalam kereta kawasan rumah tersebut telah menemukan tiga paket plastik yang mengandungi ketulan-ketulan kristal bahan disyaki dadah jenis methamphetamine anggaran berat hampir 3 kilogram (kg).

“Pemeriksaan susulan di sebuah rumah kawasan berhampiran telah menjumpai satu plastik hitam di dalamnya mengandungi tujuh plastik hijau yang mengandungi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine anggaran berat hampir 7kg.

“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas ialah berjumlah heroin dengan 2.06g, sementara methamphetamine seberat 9.7kg. Nilai harga keseluruhan dadah yang dirampas adalah hampir berjumlah RM970,098.10 atau hampir RM1 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada dalam sidang media selepas Perhimpunan Bulanan dan Amanat Ketua Polis Perak di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU) dekat sini pada Rabu.

Tambahnya, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan boleh digunakan kepada 100,000 penagih di daerah Manjung dan sekitarnya.

Dalam pada itu Mior Faridalathrash berkata ketika tangkapan dibuat, ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas suspek mendapati lelaki berkenaan positif dadah jenis morphine.

“Semakan rekod kesalahan lampau mendapati suspek mempunyai empat rekod kesalahan lampau dan kesemuanya berkaitan dengan kes dadah.

“Tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, di mana Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perak telah menyita sebuah motosikal. Jumlah nilai harta yang disita adalah RM 3,500.

“Justeru, nilai keseluruhan rampasan dadah bersama harta yang disita adalah RM 973,598.10,” ujarnya.

Menurutnya lagi penganggur itu dikesan telah bergiat aktif kegiatan berkenaan kira-kira enam bulan lalu dan suspek telah direman selama tujuh hari bermula 19 Julai.

Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman mandatori iaitu gantung sampai mati.

Source : Astro Awani