Sebahagian besar pimpinan utama PH Perak menghadiri mesyuarat bulanan Majlis PH Perak yang diadakan di Wisma Amanah Perak pada Sabtu.

IPOH – Pakatan Harapan (PH) Perak telah mencapai persetujuan dalam kalangan komponen melibatkan kuota lantikan politik di dalam kerajaan negeri.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, lantikan tersebut melibatkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), ahli-ahli majlis pihak berkuasa tempatan dan ketua kampung.

Jelas beliau, persetujuan tersebut dibuat dalam satu mesyuarat bulanan Majlis PH Perak yang diadakan di Wisma Amanah Perak pada Sabtu.

“Mesyuarat PH hari ini telah membincangkan pembahagian kuota dari setiap parti PH dan telah mencapai persetujuan bersama secara konsensus.

“Keputusan yang dibuat hari ini sangat penting bagi mengisi kekosongan di peringkat akar umbi setelah kerajaan baharu terbentuk dan supaya rakyat mendapat akses dan kemudahan dasar kebajikan kerajaan negeri,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Mujahid berkata, dalam pada itu mesyuarat tersebut membincangkan pengukuhan Kerajaan Perpaduan Perak khususnya di peringkat kerajaan tempatan dan akar umbi serta meningkatkan keberkesanan kebajikan rakyat.

Katanya, mesyuarat turut membincangkan dasar-dasar yang dapat memperkukuhkan kerajaan negeri melalui kepimpinan akar umbi yang lebih efektif dan berkesan.

“Majlis bersetuju untuk sampaikan dasar-dasar ini kepada kerajaan negeri bagi memastikan pemerintahan kini terus mendapat kepercayaan rakyat Perak.

“Mesyuarat melalui ketetapannya akan mencadangkan kepada Menteri Besar Perak tarikh selesai pelantikan Ahli Majlis dan MPKK ialah pada awal Februari ini,” katanya.

Antara pemimpin yang hadir pada mesyuarat tersebut termasuklah Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, Datuk Asmuni Awi; Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak, Chang Lih Kang; Setiausaha DAP Perak, Wong Kah Woh dan beberapa pimpinan tertinggi negeri lain.

Sebelum ini, Majlis Perundingan PH-Barisan Nasional yang diadakan pada 20 Disember lalu telah menetapkan setiap parti perlu mengemukakan senarai nama untuk diisi di peringkat GLC, kerajaan tempatan dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *