Kesemua MBD menerima peruntukan RM10,000 daripada Saarani (depan, empat dari kanan) sempena Majlis Perasmian Karnival Sambutan Hari Belia Negara dan Anugerah Belia Perdana Negara Peringkat Negeri Perak 2022 di Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh di sini pada malam Ahad.

IPOH – Majlis Belia Negeri (MBN) Perak menjadi organisasi belia pertama di negara ini menubuhkan Briged Muda Petani Moden sebagai satu usaha meningkatkan sekuriti makanan negara.

Presiden MBN Perak, Muhammad Puhaz Salleh berkata, idea penubuhan briged tersebut tercetus sebagai titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang mahukan golongan belia terlibat dalam sektor pertanian selain ancaman jaminan bekalan makanan global.

Menurutnya, setiap Majlis Belia Daerah (MBD) di negeri ini mempunyai Briged Muda Petani Moden masing-masing yang berperanan membantu golongan belia yang terlibat dalam aktiviti pertanian.

Pelaksanaan untuk program ini kita akan selaraskan melalui majlis belia daerah untuk melihat dan mengenal pasti golongan belia yang terlibat dengan pertanian untuk kita membantu dari segi peralatan dan bahan input pertanian.

“Bagi tujuan itu, kerajaan negeri menerusi Pejabat Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak memperuntukkan RM10,000 kepada setiap MBD untuk memastikan bantuan dapat disalurkan kepada belia yang layak,” katanya kepada Sinar Harian.

MUHAMMAD PUHAZ

Beliau ditemui pada Majlis Perasmian Karnival Sambutan Hari Belia Negara dan Anugerah Belia Perdana Negara Peringkat Negeri Perak 2022 di Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh di sini pada malam Ahad yang disempurnakan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Sementara itu, Muhammad Puhaz berkata, di bawah kepimpinan baharu, MBN Perak memberi fokus kepada kemandirian organisasi dengan antaranya menubuhkan sebuah syarikat untuk organisasi belia itu menjalankan perniagaan.

Menurutnya, MBN Perak mempunyai pegangan penuh ke atas syarikat berkenaan yang akan membantu menjana pendapatan untuk disumbangkan kepada organisasi bagi menjalankan program-program di peringkat daerah dan negeri.

“MBN Perak perlu mengurangkan kebergantungan terhadap kerajaan. Cukuplah tempoh 22 bulan selepas pertukaran kerajaan pada tahun 2018. Menjadi detik hitam dan kemarau yang panjang buat pertubuhan belia.

“Pada masa itu pertubuhan belia telah dianaktirikan oleh kerajaan negeri dan pusat. Peruntukan dan bantuan tidak diberikan kepada pertubuhan belia untuk menganjurkan program-program sehingga menyebabkan ada pertubuhan belia yang menjadi lesu dan tenggelam ditelan arus kemarau tersebut,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Sumber : Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *