IPOH, 24 OGOS 2022 — Kerajaan Negeri Perak melalui Institut Darul Ridzuan telah menganjurkan Perak Sejahtera 2030: State Leadership Summit 2022. Sidang kemuncak ini menyatukan semua tonggak utama jabatan dan agensi negeri Perak dalam satu platform bagi mencari pendekatan terbaik dalam melaksanakan Perak Sejahtera 2030. Program ini turut memberi pendedahan kepada para peserta mengenai Model Ekonomi Donat, seiring dengan flagship ke-15 Perak Sejahtera 2030, iaitu mewujudkan Ipoh sebagai Bandar Ekonomi Donat menjelang 2027. Melalui pelaksanaannya, Ipoh bakal menjadi bandar pertama di Malaysia dan di rantau Asia yang menggunakan model ini.

Perak Sejahtera 2030: State Leadership Summit 2022 berlangsung selama dua hari, iaitu pada 23 dan 24 Ogos 2022 bertempat di Hotel Casuarina@Meru, Ipoh ini telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad, Menteri Besar Perak.

Seramai 10 orang barisan penceramah dari dalam dan luar negara dijemput bagi berkongsi pengetahuan dan pengalaman serta buah fikiran untuk mencari pendekatan pembuatan keputusan yang inovatif dan kreatif dalam isu-isu melibatkan pengurusan, pemantauan dan pelaksanaan projek-projek berkepentingan negeri.

Penampilan istimewa Profesor Kate Raworth, pengasas kepada Model Ekonomi Donat, telah membawa peserta memperhalusi pendekatan Ekonomi Donat dalam memperkasa pemahaman pengurusan strategik negeri. Model Ekonomi Donat ini juga akan digunakan sebagai dashboard Perak Sejahtera 2030 agar negeri Perak tidak melangkaui sempadan alam raya, malahan menitikberatkan keseimbangan ekonomi, sosial dan politik sejajar dengan matlamat Perak Sejahtera 2030. Turut diadakan sesi networking bersama pemain industri.

Perak Sejahtera 2030 kini berada di fasa pelaksanaan terhadap segala program dan projek yang telah dirancang. Sebagai contoh, pada 13 April 2022, YAB Dato’ Seri Saarani

Mohamad, Menteri Besar Perak telah bersama-sama YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri Malaysia melancarkan Automotive Hi-Tech Valley (AHTV) di Proton City, Tanjong Malim. Projek itu dijangka menjana peluang pekerjaan sebanyak 370,000 sepanjang pembinaan dan 160,000 apabila beroperasi kelak.

Di samping itu, usaha Kerajaan Negeri dalam melahirkan lebih ramai usahawan negeri dan menyediakan fasiliti perniagaan terus digiatkan. Projek Pasar Tani Kekal Kuala Kangsar yang dijangka bakal beroperasi pada April tahun 2023 boleh memberi manfaat kepada lebih 100 orang usahawan.

Antara projek lain yang telah dilancarkan termasuklah Ipoh Raya Integrated Park yang melibatkan enam (6) fasa pembangunan bersepadu sehenti dengan mengoptimumkan keutamaan industri hijau yang pertama di Perak. Pembangunan seluas 832.38 ekar ini merangkumi hab perindustrian berasaskan pertanian, hab logistik, kemudahan kemahiran vokasional dan teknikal. Projek ini mampu memperkasakan lagi Koridor Perindustrian dan menyediakan persekitaran perniagaan industri dan logistik yang efisien serta efektif untuk pelabur di samping menjadikan Perak sebagai negeri mesra pelabur. Pembangunan bersepadu ini akan memberi impak positif kepada ekonomi tempatan dan dijangka bakal mewujudkan 15,000 peluang pekerjaan baharu.

Perak Sejahtera 2030 bukan sesuatu yang mudah kerana ia menuntut kesungguhan setiap penggeraknya mencurahkan segala komitmen agar setiap perancangan yang dibuat dapat dilaksanakan sebaik-baiknya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *