Perak negeri pertama lancar Pelan Tindakan Sekuriti Makanan

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad (baris dua, tengah) bergambar bersama penerima geran bantuan pada majlis Perasmian Karnival Sekuriti Makanan dan Perak Sejahtera 2030 di Dewan Milienium Lubuk Merbau hari ini. – Foto BERNAMA

KUALA KANGSAR : Perak menjadi negeri pertama yang melancarkan Pelan Tindakan Sekuriti Makanan sebagai antara usaha bagi mengurangkan kebergantungan kepada makanan import.

Majlis pra-pelancaran Pelan Tindakan Sekuriti Makanan Perak 2022 – 2030 telah disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad di Dewan Millenium, Lubok Merbau, dekat sini, hari ini.

Pelan tindakan itu merupakan inisiatif kerajaan negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak dengan kerjasama Institut Darul Ridzuan dalam usaha menggerakkan sekuriti makanan yang merupakan salah satu daripada enam agenda utama Perak Sejahtera 2030.

Saarani berkata, kerajaan negeri beriltizam untuk mempelopori sektor sekuriti makanan bagi mengurangkan kebergantungan kepada makanan import.

“Ini berdasarkan kelebihan dan potensi untuk menggembleng sumber sedia ada bagi memajukan sektor pertanian ke arah sekuriti makanan,” katanya.

Selain itu, ujarnya, kerajaan negeri turut menggariskan matlamat untuk menyediakan bekalan makanan yang berkualiti, selamat dan berkhasiat melalui pengeluaran hasil makanan yang stabil, berterusan dan berdaya tahan terhadap perubahan iklim demi kesejahteraan rakyat negeri ini.

Menurutnya, melalui pelan tindakan itu, usaha-usaha akan memfokus dalam memperbanyak sumber dalaman dan mempelbagaikan sumber import; meningkatkan penglibatan swasta dan masyarakat dalam sistem rangkaian makanan; memastikan keberadaan makanan yang selamat dengan harga berpatutan dan gaya pemakanan sihat; dan memastikan kesiapsiagaan negeri dalam mengukuhkan jaminan sekuriti makanan.

Beliau berkata, terdapat enam fokus utama pelaksanaan pelan tindakan itu, termasuk mengoptimumkan sumber dan meningkatkan hasil, memperkasakan penggunaan teknologi, pengukuhan tadbir urus, pemerkasaan data dan penyelidikan, pengukuhan kerjasama strategik dan pelaburan.

Menurutnya, pemerkasaan ekonomi kitaran negeri Perak turut menyasarkan matlamat untuk menjadi hab sekuriti makanan terkemuka di Malaysia, dan di rantau Asia Tenggara di samping mempertingkatkan ekonomi negeri, selain menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat.

Source : Astro Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *