Perak muncul juara keseluruhan Ihtifal KAFA Kebangsaan
Adik Ahmad Azfar Azraei johan bagi Tilawah Al-Quran Lelaki.
KUALA LUMPUR – Perak dinobatkan sebagai juara keseluruhan dalam Ihtifal KAFA Kebangsaan (IKK) kali ketujuh 2022 anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang berlangsung di Kelantan semalam.
Pencapaian negeri itu hasil kejayaan empat pesertanya yang masing-masing merangkul dua johan dalam pertandingan bercerita kisah al Quran lelaki dan khat lelaki, manakala dua naib johan dalam hafazan al Quran lelaki dan bercerita kisah al Quran perempuan.
Menurut Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff, majlis perasmian penutup dan penyampaian hadiah disempurnakan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.
Katanya, IKK merupakan aktiviti tahunan melibatkan pelajar KAFA dan Sekolah-Sekolah Agama (SMA) di bawah penyelarasan Lembaga Penasihat Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (LEPAI) seluruh negara.
“Rasional pelaksanaan program ini adalah sebagai kesinambungan kepada program yang diadakan setiap tahun demi memastikan kesan positif kepada perkembangan, perkongsian dan percambahan ilmu pelajar KAFA seluruh negara.
“Objektif IKK untuk membina keyakinan pelajar KAFA  seawal peringkat kanak-kanak ke arah pembentukan kemenjadian murid yang seimbang dalam bidang akademik dan keperibadian diri serta memberi ruang dan peluang kepada mereka untuk menyerlahkan bakat dan kemampuan diri,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary.
Menurut Hakimah, IKK kali ini melibatkan penyertaan 297 peserta yang terdiri daripada kontinjen peserta ihtifal, hakim, tetamu kehormat dan urusetia.
Kata beliau, acara dipertandingkan ialah Tilawah al-Quran, Hafazan al-Quran, Bercerita Kisah al-Quran dan Khat.
Hadiah bagi setiap pertandingan ialah wang tunai RM500 untuk johan, RM400 naib johan dan RM300 tempat ketiga.
54e6237b-833e-4b70-ae23-cb222ef58790-1024x684.jpg
Dua peserta dari Perak berkongsi kegembiraan apabila negerinya diumumkan juara keseluruhan IKK.
Berikut keputusan IKK:
Tilawah Al-Quran (Lelaki), johan, Ahmad Azfar Azraei dari Melaka mendapat 87 markah, kedua, Izz Ziqri Yusva Mochtar dari Wilayah Persekutuan (85) dan ketiga, Muhammad Danish Daniel Muhamad dari Johor (83).
Tilawah Al Quran (Perempuan), johan, Nur Farhan Faiqah Hanipah dari Johor (86.5), kedua, Maryam Solehah Noor Hisyam, Negeri Sembilan (86) dan ketiga, Arifah Azraei, Melaka (84).
Hafazan Al Quran (Lelaki), johan, Wan Ahmad Nur Hafiy Wan Mohd Nurussabah dari Kedah (94), kedua, Muhammad Ammar Mohd Anuar, Perak (93) dan ketiga, Ahmad Rayyan Raudhillah Rafizul, Johor (92).
Hafazan Al Quran (Perempuan), johan, Atikah Mohd Syazwan dari Negeri Sembilan (97), kedua, Maryam Muhammad Anwar, Kelantan (94), dan ketiga, Nik Nadrah Jannah Nik Mohd Shah Eram, Pahang, (93).
Bercerita Kisah Al Quran (Lelaki), johan Muhammad Naufal Hussaini Mohd Fauzi dari Perak (91.5), kedua, Muhammad Faris Mohd Azhar, Kedah (91), dan ketiga, Usyair Hadif Yusri, Johor (90.5).
Bercerita Kisah Al Quran (Perempuan), johan, Keysha Khaleeda Karman dari Johor (88.5), kedua, Ulya Farhan Muhammad Hafiz, Perak (88), ketiga, Puteri Nur Syifa Awaluddin, Selangor (87).
Khat (Lelaki), johan, Imam Ahmad Hashim Fahmi dari Perak (75), kedua, Irfan Danial Khairil Anwar, Melaka (73), ketiga, Muhammad Aidil Mohd Khairulhazri, Wilayah Persekutuan (72).
Khat (Perempuan), johan, Nur Izzatul Humaira Norshaharizal dari Selangor (81), kedua, Nur Aina Aqilah Abu Naim, Johor (78), ketiga, Nur Solehah Noraizan, Melaka, (73).

Source: MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *