A view of the sea
PASUKAN Perak muncul juara kejohanan hoki MSSM kategori lelaki bawah 18 tahun, hari ini, FOTO MOHD RAFI MAMAT 

Kuantan: Pasukan Perak muncul juara kejohanan hoki Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2022 kategori lelaki bawah 18 tahun selepas menewaskan Johor, hari ini.

Kedua-dua pasukan terpaksa berentap menerusi penentuan shoot out sebelum Perak menang 4-3 selepas terikat 1-1 pada masa sebenar di Stadium Hoki Kuantan.

Pada minit kesembilan penyerang lincah Perak, Muhammad Faiz Afzan Mohd Faizal mudah menolak bola muntah pukulan sudut penalti menewaskan penjaga gol Johor, Ahmad Syafuddin Rozi.

Johor tidak menunggu lama apabila menjaringkan gol penyamaan menerusi sudut penalti Azimuddin Syakir Kamaruddin pada minit ke-29.

Jurulatih Perak, Mohd Nizam Mohd Hashim berkata, dia berpuas hati dengan persembahan pemain yang dapat mengawal permainan walaupun diasak lawan.

“Ini adalah kejuaraan kedua berturut-turut, pada MSSM 2019 di Melaka kita turut muncul juara.

“Ternyata usaha pemain musim ini berhasil,” katanya.

Tempat ketiga dimenangi Terengganu dan Pulau Pinang di tempat keempat.

Dalam kategori perempuan, Pahang muncul juara selepas menewaskan Johor menerusi penentuan shoot out 3-1 selepas terikat tanpa jaringan pada masa sebenar.

Perak menduduki tempat ketiga manakala Kedah di tempat keempat.

Dalam kategori lelaki bawah 12 tahun johan berpihak kepada Johor, naib johan Kuala Lumpur dan ketiga Pahang.

Bagi kategori perempuan bawah 12 tahun, juara milik Negeri Sembilan, naib johan Pahang dan ketiga, Selangor.

Source : Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *