Perak Box Office pemangkin industri pelancongan negeri, disasar jana RM70 juta

Platform digital Perak Box Office dijangka dapat meningkatkan industri pelancongan di negeri ini dengan membantu menonjolkan aktiviti serta acara menarik kepada orang ramai. -Astro AWANI

IPOH: Industri pelancongan Perak dijangka mendapat suntikan memberangsangkan melalui kerjasama dalam membangunkan platform digital Perak Box Office, sekali gus menjana pendapatan mencecah RM70 juta.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi, L’Univers dan Pouch Nation berganding bahu membangunkan platform digital tersebut bagi memudahkan pengunjung mengakses acara menarik yang berlangsung di Perak.

“Platform seperti Perak Box Office bukan sahaja berguna kepada pelancong untuk mendapat maklumat terkini mengenai acara.

“Tetapi juga berfungsi sebagai pemangkin untuk pembangunan negeri Perak dengan menjana pendapatan sebanyak RM70 juta dalam tempoh lima tahun,” kata Nolee Ashilin.

Perak Box Office merupakan platform penjualan tiket unik khusus untuk negeri Perak, di samping berperanan membantu para pemain industri pelancongan memodenkan pemasaran masing-masing.

Ia dijangka dapat meningkatkan industri pelancongan di negeri ini dengan membantu menonjolkan aktiviti serta acara menarik kepada orang ramai.

“Ia turut disokong pihak kami dan People of Remarkable Talents (PORT), platform digital ini memudahkan para pengunjung mengakses acara yang sedang berlangsung.

“Ia termasuk konsert, perayaan, festival makanan, festival muzik, pameran dan konvensyen, pertunjukan bot antarabangsa, pertunjukan kereta dan acara triathlon.”

Nolee Ashilin berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan pengumuman kerjasama platform penjualan tiket negeri Perak itu, di sini, pada Isnin.

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi Pouch Nation, Gonçalo Vaz de Carvalho dan Ketua Pegawai Eksekutif L’Univers, Shannon Lee.

Bersempena dengan pengumuman itu, L’Univers turut mengumumkan mereka akan membawa pertunjukan seni kreatif dan kebudayaan dari serata dunia ke Perak.

Antaranya The UK Bubble Show, sebuah pertunjukan silap mata yang menampilkan pemegang beberapa rekod dunia Eran Backler.

Para pelancong juga akan disajikan dengan pelbagai pertunjukan menghiburkan pada suku akhir tahun 2022 yang tersedia di platform Perak Box Office kelak.

Sementara itu, Gonçalo berkata, pihaknya menyasarkan untuk menonjolkan pelbagai keunikan di negeri ini di mata dunia.

“Malaysia merupakan negara yang menakjubkan dengan pelbagai tarikan.

“Semasa menerokai negeri Perak, kami di Pouch Nation amat menghargai kecantikannya dan kepelbagaian tarikan yang tersedia.

“Bagaimanapun, Perak tidak mendapat perhatian yang sepatutnya, dan saya berbangga kerana dapat menonjolkan keunikan negeri ini melalui solusi digital kami.

“Di samping membantu para pemain industri pelancongan memodenkan pemasaran mereka untuk menarik minat lebih ramai orang,” katanya.

Sumber : Astro AWANI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *