Rumaizi bersama Steven menandatangani pembelian 10 unit Bond Suites, Ipoh pada sesi Rangkaian Bond Holding-Seon di Ipoh, Perak

IPOH –  Perak yang mempunyai pelbagai sumber semulajadi berpotensi besar dalam menarik minat pelabur-pelabur dari Singapura untuk meneroka peluang ekonomi.

Terbaharu, kehadiran 100 orang usahawan dari negara Kota Singa itu ke bandar raya Ipoh menunjukkan perkembangan baik dalam memacu kembali sektor ekonomi di sini.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, kunjungan tersebut merupakan indikator yang baik bagi sektor ekonomi khususnya di bandar raya Ipoh.

“Kita menunggu dan melihat apa yang ingin dirancang menerusi peluang-peluang perniagaan yang mereka lihat sendiri di sini. 

“Berpandukan beberapa pembentangan, kita bakal memfokuskan pada industri digital selain dari peluang perniagaan hartanah dan pelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Makan Malam Sesi Rangkaian Bond Holding-Seon (Spotlight On Entrepreneurs ) di Hotel Weil, di sini.

Hadir sama bekas Ahli Parlimen Singapura, Muhamad Amrin Muhamad Amin; Ketua Pegawai Eksekutif Bond Holdings, Ong Teng Boon dan Pengasas Seon, Joseph Chong. 

Pada majlis tersebut, Rumaizi turut menandatangani Pelaburan Rentas Sempadan Singapura-Ipoh bagi pembelian 10 unit Bond Suites, Ipoh dengan Ketua Eksekutif Ello Fintech, Steven Lau.

Terdahulu, berlangsung Sesi Rangkaian Bond Holding-Seon bersama Tourism Perak yang diterajui oleh Ketua Eksekutifnya, Nurmalis Musa.

Ia bagi membincangkan sesi kunjungan Tourism Perak ke Singapura pada bulan hadapan bagi menjayakan satu kolobrasi perniagaan.

Source: MalaysiaGazette