A view of the sea
DATUK Seri Saarani Mohamad ketika membantu menjual barangan basah termasuk ayam segar dan telur ketika program Karnival Sekuriti Makanan @ Perak Sejahtera 2030 di Dewan Millenium Lubuk Merbau, di sini, hari ini. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI

Padang Rengas: Kerajaan negeri Perak akan membangunkan akademi sekuriti makanan bagi memperkukuhkan jaminan sekuriti makanan melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) secara berterusan. 

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata ia membabitkan kerjasama dengan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) untuk meneroka bidang sekuriti makanan yang dianggap masih baharu dan sentiasa memerlukan inovasi dan kreativiti. 

“Kita hendak teroka bidang baharu ini yang ia memerlukan inovasi dan kreativiti dan disebabkan itu kita perlu ada R&D yang akan dilangsungkan melalui akademi berkenaan. 

“USAS mempunyai pensyarah dan profesor sendiri (dalam bidang berkenaan) yang boleh bantu kita,” katanya kepada pemberita sewaktu menyempurnakan perasmian Karnival Sekuriti Makanan @ Perak Sejahtera 2030 di Dewan Millenium Lubuk Merbau, di sini, hari ini. 

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC), Yahanis Yahya dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Darul Ridzuan, Dr. Maisarah Ahmad. 

Saarani berkata lagi, penubuhan akdemi itu juga berkaitan dengan program Ijazah Sarjana Muda Industri Pertanian yang tersedia di USAS. 

Dalam perkembangan berkaitan, Saarani berkata pembabitan rakyat negeri ini dalam sektor pertanian dan penternakan dilihat masih rendah meskipun terdapat permintaan tinggi bagi produk makanan. 

Beliau berkata, perkara itu jelas dilihat berdasarkan perkiraan penghasilan bekalan makanan di negeri ini seperti daging yang hanya meliputi 13.6 peratus dibekalkan oleh rakyat Perak serta daging biri-biri (3.3 peratus) daripada keseluruhan bekalan negeri ini. 

“Penduduk di Perak mencecah 2.6 juta orang dan sekarang perkara yang selalu disebut adalah mengenai kekurangan bekalan sedangkan masih banyak lagi ruang di mana petani, penternak, dan peladang boleh meneroka peluang baharu. 

“Terdapat bekalan makanan yang mendapat permintaan tinggi namun tak tahulah sebab apa orang perak tidak berminat sedangkan ia (makanan) adalah keperluan harian kita,” katanya.

Source : Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *