Saarani (dua kanan) melakukan gimik pelancaran Bridge Muda Petani Moden Negeri Perak pada Karnival Sekuriti Makanan@Perak Sejahtera 2030 di sini, hari ini. / FOTO ZULFACHRI ZULKIFLI

PADANG RENGAS – Penglibatan rakyat di negeri ini dalam sektor pertanian dan penternakan dilihat masih rendah meskipun terdapat permintaan tinggi bagi produk makanan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, berdasarkan statistik, negeri Perak kekurangan bekalan daging lembu dan biri-biri apabila hanya 13.6 peratus daging untuk kegunaan dalam negeri dibekalkan oleh penternak lembu manakala 3.3 peratus pula membabitkan penternak biri-biri.

Malah katanya, tanaman halia dan kobis yang dibekalkan petani di Perak juga merekodkan nilai rendah masing-masing sebanyak 0.2 dan dua peratus.

“Penduduk di Perak ini mencecah 2.6 juta orang di mana kita memerlukan makanan yang mencukupi dan berkualiti.

“Ada banyak ruang dan peluang untuk petani, penternak dan peladang untuk mereka teroka sama ada memulakan projek baharu atau membesarkan projek sedia ada termasuk variasi tanaman seperti halia, kobis dan nanas yang ada permintaan tinggi.

“Saya tidak tahu kenapa orang Perak tidak berminat (pertanian dan penternakan) sedangkan produk makanan itu merupakan keperluan harian mereka,” katanya dalam sidang akhbar sempena Karnival Sekuriti Makanan@Perak Sejahtera 2030 di Dewan Millenium, Lubok Merbau di sini hari ini.

Menurut beliau, kerajaan negeri dalam usaha menyakinkan rakyat untuk terlibat dalam bidang pertanian agar dapat bersama mencapai matlamat sebagai hab sekuriti makanan pertama negara.

Katanya, antara langkah diambil adalah menerusi siri jelajah ke seluruh negeri bagi menyampaikan maklumat berkaitan bidang pertanian selain bantuan dan bentuk sokongan yang disediakan kerajaan.

Source : KOSMO! ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *