Penggiat industri pelancongan 5 negeri berhimpun di Perak, kongsi idea promosi produk

IPOH: Seramai 100 penggiat industri pelancongan daripada lima negeri dihimpunkan dalam program Tourism Malaysia Northern Region Networking Session- Perak, di sini pada Selasa.

Program anjuran Tourism Malaysia Wilayah Utara itu membabitkan pengusaha hotel, produk, persatuan dan agensi pelancongan dari Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Negeri Sembilan termasuk Perak.

Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Utara, Shahrul Aman berkata, ia bertindak sebagai platform kepada pemain industri pelancongan di wilayah utara dan tengah bagi berkongsi maklumat serta promosi. Shahrul berkata, ia juga usaha menggerakkan semula sektor pelancongan domestik dalam tempoh endemik.

“Ini selaras dengan misi negara bagi menerima kehadiran pelancongan seramai 9.2 juta orang dengan pendapatan sebanyak RM26.8 bilion bagi tahun 2022.

“Bagi sesi pembentangan produk, seramai lima orang pembentang telah berkongsi maklumat mengenai produk terkini yang dapat ditawarkan kepada pelancong.

“Antaranya ialah Gembox dari Negeri Sembilan, Amari Hotel Pulau Pinang, The Hooton Retreat Negeri Sembilan, Alun Retreat Pulau Pangkor serta Segar City Negeri Sembilan.

“Ia bagi bertukar pandangan berkaitan isu semasa sekali gus menjalinkan jaringan perniagaan yang baik bersama rakan industri dari negeri lain,” katanya ketika berucap merasmikan program.

Tambahnya, beliau berharap penganjuran sesi pertemuan empat mata itu dapat menghasilkan pakej-pakej pelancongan domestik yang lebih interaktif dan inovatif.

“Sesi networking di negeri ini adalah kesinambungan daripada kejayaan penganjuran sesi sama yang diadakan di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis,” katanya lagi.

Katanya, ia masih mengekalkan pendekatan dan kaedah sama, yang mana ia membabitkan pembentang yang terdiri daripada pengusaha hotel dan produk pelancongan.

Sumber : Astro Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *