Saarani beramah mesra bersama pengamal media pada majlis minum petang di Bilik Bunga Anggerik, Hotel Seri Pacific di sini, hari ini. – Foto NSTP/HAZREEN MOHAMAD

KUALA LUMPUR: Sebanyak 51,000 peluang pekerjaan akan diwujudkan di Perak dalam tempoh 10 tahun menerusi Pelan Pembangunan Perak Sejahtera 2030.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata kerajaan negeri akan meneruskan Pelan Perak Sejahtera 2030 dengan satu daripada projek yang akan dilaksanakan adalah Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC).

Beliau berkata, Pelan Perak Sejahtera 2030 adalah idea dan buah fikiran rakyat negeri itu yang membabitkan libat urus semua pihak, termasuk pembangkang.

Katanya, terdapat pelan khusus untuk membangunkan Perak dan menjadikannya sebuah negeri yang menyediakan peluang pekerjaan selepas melalui fasa sukar selama dua tahun akibat COVID-19.

“Kajian oleh Institut Darul Ridzuan mendapati dalam tempoh itu sebanyak 53,000 rakyat Perak hilang pekerjaan dan 80,000 penjaja serta peniaga kecil kehilangan perniagaan.

“Maka kita perlu bangunkan negeri Perak untuk membuka peluang pekerjaan dan perniagaan,” katanya ketika majlis pertemuan dan minum petang bersama media di Hotel Seri Pacific, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, beliau meluangkan masa hampir dua jam untuk bertemu dengan pengamal media.

Saarani berkata, menerusi Pelan Pembangunan Perak Sejahtera 2030, Perak juga akan dibangunkan sebagai negeri perindustrian.

Katanya, Tanjung Malim akan menjadi kawasan perindustrian apabila Proton memindahkan operasinya secara berperingkat ke Proton City.

“Bilangan penduduk di kawasan itu dijangka bertambah sebanyak 50,000.

“Perkara itu akan memberikan impak yang baik dan besar kepada rakyat Perak dari Tanjung Malim hingga ke Tapah,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan menyediakan pelan pelaburan untuk Perak dengan membangunkan laman industri di Simpang Pulai.

“Laman industri itu dijangka siap pada 2024 dan akan menyediakan lebih 2,000 peluang pekerjaan.

“Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) juga akan membangunkan taman perindustrian di Chemor, iaitu Silver Valley Technology Park,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *