Mural 'Air Kopi O Ikat Tepi' diroboh ikut perjanjian
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin melancarkan Kempen Kesihatan Persekitaran 2022 Membasmi Wabak Dan Hotspot Denggi di Masjid An Nur, Batu 8, Ulu Kinta – Foto NSTP/Balqis Jazimah Zahari

IPOH: Mural popular ‘Air Kopi O Ikat Tepi’ dihasilkan pelukis terkenal dari Lithuania, Ernest Zacharevic di Jalan Tun Sambanthan di sini dirobohkan atas dasar perjanjian awal pemilik bangunan berkenaan.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) tidak boleh menghalang berikutan bangunan itu adalah milik persendirian.

“Ini kita tidak boleh (halang roboh) sebab ia perjanjian dua pihak antara pemilik bangunan dan pelukis itu.

“Difahamkan perjanjian itu bertempoh, seperti dalam konsep pemasaran yang mana kita membenarkan ia dalam tempoh beberapa tahun dan selepas itu bergantung kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Kempen Kesihatan Persekitaran 2022 Membasmi Wabak Dan Hotspot Denggi di Masjid An Nur, Batu 8, Ulu Kinta di sini hari ini.

Ditanya pemberita berapa banyak lagi bangunan yang mempunyai lukisan mural akan diroboh untuk tujuan pembangunan di bandar raya ini, Rumaizi berkata, setakat ini hanya mural Air Kopi O Ikat Tepi.

Beliau berkata, pihaknya akan menambah pelbagai lukisan mural untuk tarikan pelancong pada masa depan.

“Mural ini kita akan tambah lagi, memang dalam perancangan kita untuk menggerakkan bagi memperbanyakkan lagi mural di Ipoh ini.

“Mungkin selepas ini pelukis lain pula, pelukis ini selepas satu tempoh kita kena berubah mengikut trend baharu, dalam konsep pasaran sentiasa perlu pada perubahan,” katanya. 

Katanya, mural adalah sebahagian daripada pasaran untuk menggerakkan Ipoh sebagai bandar pelancongan di masa hadapan

Media sebelum ini melaporkan, Mural Air Kopi O Ikat Tepi yang terkenal oleh pelukis terlatih dari London, Ernest Zacharevic dirobohkan untuk memberi laluan kepada pembinaan sebuah hotel di sini.

Mural berkenaan yang mempamerkan cara popular kopi dihidangkan di Malaysia dalam beg plastik yang diikat dengan tali, bukan sahaja mencantikkan bangunan tetapi menjadi tarikan pelancong dengan mengambil gambar untuk swafoto dan catatan media sosial mereka.

Terdapat dua mural di tapak pembangunan hotel yang dicadangkan dengan satu daripadanya membabitkan karya seni Zacharevic di Jalan Tun Sambanthan dan satu lagi mural di Jalan Panglima.

Source : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *