Minimumkan pindah gajah ke Royal Belum tangani konflik gajah-manusia
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad

GERIK: Kerajaan Perak bercadang menubuhkan jawatankuasa khas bagi menangani konflik antara gajah dengan manusia, khususnya di daerah Hulu Perak, susulan beberapa kawasan hutan di daerah itu, terutama di Hutan Royal Belum sering menjadi lokasi pemindahan gajah.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata kemunculan haiwan berkenaan yang melintas di sepanjang laluan Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) juga dianggap semakin serius, selain serangan gajah yang dilaporkan berlaku di beberapa penempatan penduduk seperti di POS Kemar.

“Sama ada secara sah atau tidak, kita sememangnya tahu orang hantar gajah dari tempat serta negeri lain ke Hutan Royal Belum, dan ia akan sentiasa merayau mencari makanan dan kawasan (legar).

“Walaupun saya Menteri Besar, saya sendiri tidak boleh buat keputusan mengenainya sebab hal berkaitan gajah terikat dengan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar di peringkat Parlimen.

“Jadi, kena ada satu mesyuarat (jawatankuasa) yang mungkin kerajaan negeri akan panggil beberapa agensi seperti Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Perbadanan Taman Negeri, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) untuk kita perhalusi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program MESRA Menteri Besar Perak sempena Karnival Eksplorasi Kemarian 2022 di Dewan Terbuka Sekolah Kebangsaan (SK) RPS Kemar di POS Kemar, di sini, semalam.

Awal bulan lalu, media melaporkan PERHILITAN Perak mengesan seekor gajah liar berkeliaran di RPS Kemar selepas seminggu insiden seorang wanita Orang Asli parah diserang gajah ketika mengutip buah durian di penempatan itu, pada 30 Julai lalu.

Saarani berkata, pihaknya sebelum ini menerima pelbagai cadangan bagi mengurangkan konflik hidupan liar itu dengan manusia, antaranya melalui penyediaan kawasan khas untuk kawasan habitat gajah di hutan yang banyak dengan sumber makanan hidupan liar terbabit. 

Katanya, cadangan lain yang dilihat masih boleh dipertimbangkan adalah menggunakan khidmat pakar gajah yang mampu memandu arah kawan gajah supaya hanya bertumpu kepada sesuatu tempat seperti diamal di Thailand. 

Dalam perkembangan lain, Saarani berkata, kerajaan negeri dalam proses memuktamadkan jajaran projek pembinaan Jalan Perhubungan Desa (JPD) antara Kampung Bawong di Sungai Siput dan Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kemar, Pos Kemar, di sini, yang membabitkan peruntukan RM93 juta.

Beliau berkata, proses pemberian tender projek berkenaan dijangka seawal April tahun depan, namun beliau tidak secara terperinci menerangkan bila projek itu dijangka siap kerana ia tertakluk kepada syarikat yang akan dilantik melalui agensi pelaksana iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR).

Source : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *