Lorong Seni@Lorong Panglima tarikan baharu pengunjung ke Perak

Nolee Ashilin berkata, Lorong Seni@Lorong Panglima merupakan kesinambungan dan akan melengkapi Concubine Lane yang sudah dikenali ramai dan sarat dengan kisah sejarah Ipoh sebelum ini. – Foto Astro AWANI

IPOH: Pelancaran Lorong Seni@Lorong Panglima di sini merupakan kesinambungan kepada Lorong Concubine, yang mampu menarik lebih ramai pengunjung ke bandar raya Ipoh khususnya, dan Perak amnya.

Bukan sahaja meriah dengan barisan peniaga dan produk jualan, lorong ini turut mengetengahkan pameran kraftangan termasuk peralatan muzik pelbagai kaum.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed berkata, ia selaras dengan penjenamaan semula bandar raya Ipoh sebagai bandar seni.

“Antara aktiviti yang diketengahkan adalah pameran, jualan produk seni, kraftangan traditional dan moden termasuk peralatan muzik dari pelbagai kaum, persembahan buskers.

“Termasuk installation art hasil karya Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar serta pemasangan papan tanda Lorong Seni@Lorong Panglima, Ipoh.

“Lorong Seni@Lorong Panglima ini merupakan kesinambungan dan akan melengkapi Concubine Lane yang sudah dikenali ramai dan sarat dengan kisah sejarah Ipoh sebelum ini.

“Ia bagi menarik lebih ramai pengunjung dan memberi peluang kepada usahawan tempatan untuk menonjolkan bakat seni dan kraftangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Lorong Seni@Lorong Panglima, di sini, semalam.

Hadir sama, Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin dan Ahli-Ahli Majlis MBI.

Kata Nolee Ashilin lagi, lorong tersebut telah diwartakan sebagai laluan pejalan kaki.

Selain itu, satu sesi penyertaan awam diadakan pada 13 Jun lalu untuk memaklumkan pemilik-pemilik premis di Lorong Panglima mengenai aktiviti yang akan dilaksanakan di situ.

“Kesemua jemputan yang hadir bersetuju dengan cadangan Lorong Seni tersebut, ia akan beroperasi pada setiap Sabtu mulai jam 8 pagi hingga 1 tengah hari,” katanya.

Sementara itu, Rumaizi berkata, pemilihan peniaga di situ adalah melalui persatuan seni dan kraftangan, serta yang berdaftar di bawah MBI.

“Bagi yang berminat boleh mohon dengan MBI untuk berniaga di sini, mengikut kesesuaian.

“Sekarang ini kita bermula dengan 10 peniaga dahulu, dan lihat bagaimana sambutan. Setelah itu baru kita tambah (peniaga) mengikut kesesuaian,” katanya.

Source : Astro Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *